Ahmad Zahid Tegaskan UMNO Dan BN Tidak Amalkan Politik ‘Barbaric’

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan bahawa parti itu dan Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan politik ‘barbaric’ malah jauh sama sekali berpaksikan kepada dendam.

Beliau yang juga Pengerusi BN sebaliknya menambah mereka bersaing dengan ideologi serta hujah dan fakta dalam memperjuangkan kebaikan untuk kepentingan rakyat semata-mata.

“Jangan bimbang. UMNO dan BN tidak mengamalkan politik ‘barbaric’. UMNO dan BN tidak menganiaya, menzalimi lawan hanya kerana berbeza fahaman politik semata-mata hanya kerana mahu kekal berkuasa.

“Kita bersaing dengan ideologi, dengan hujah dan fakta. Dengan perkhidmatan…demi yang terbaik kepada rakyat untuk rakyat,” katanya menerusi program Terus Terang terbitan NRChannelTV.Net yang disiarkan di sini, malam tadi.

Program tersebut dihoskan Datuk Rafi Awang Kechik.

Tegas Ahmad Zahid lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, mana-mana pihak tidak perlu khuatir dengan kebangkitan sepenuhnya UMNO dan BN nanti.

Jelasnya lagi mereka tidak perlulah takut dengan bayang-bayang sendiri dan jika ditakdirkan ada sebarang perkara berkaitan perundangan sekalipun ianya semata-mata berlandaskan keluhuran Perlembagaan.

“Tidak usah resah dengan istilah “What You Give You Get Back”. UMNO serta BN dan ahli-ahlinya sangat profesional, ‘gentleman’. Doa yang baik-baik sahaja,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas