Program Beras Percuma Perlu Diperluas, Tempat Lain Juga Perlukan Bantuan – Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar program pemberian beras percuma yang dilaksana di Wilayah Persekutuan di bawah program MyBeras@Wilayah diperluaskan ke negeri lain supaya bersifat menyeluruh.

Terdahulu beliau yang juga Pengerusi Barisan Naional (BN) mengucapkan tahniah kepada warga Wilayah Persekutuan yang kurang berkemampuan kerana bakal menerima sekampit beras secara percuma setiap minggu di bawah ini.

“Saya juga berharap program pemberian beras percuma ini diperluaskan ke negeri lain supaya bersifat menyeluruh.

“Benar Program MyBeras@Wilayah dikendalikan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan.

“Tetapi sampaikah hati kita melihat mereka di tempat lain yang mungkin juga memerlukan bantuan beras berputih mata mendengar pengumuman program itu?” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Jelasnya, rakyat juga perlukan beras seperti penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan kerana mereka juga rakyat Malaysia.

“Nasi adalah makanan rutin rakyat Malaysia. Mujur makanan rutin rakyat Malaysia bukan chicken chop atau harimau menangis, maka tidaklah setinggi itu kos diperlukan kerajaan untuk membantu rakyat menggalas perut pada waktu-waktu sukar begini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Katanya, dimaklumkan sebanyak 5,750 kampit beras diedarkan setiap minggu kepada penduduk dari kumpulan keluarga B40 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula Ahad lalu.

“Walau apa pun saya berharap lebih banyak kampit beras disediakan dibawah program ini. Kita diberitahu keluarga yang berada di bawah garis kemiskinan di KL dianggarkan lebih 30,000,” katanya yang membuat anggaran berdasarkan Had Pendapatan Garis Kemiskinan adalah RM2,208 sebulan bagi satu isi rumah.

Sebelum itu, dalam kenyataan berlainan, Zahid menzahirkan penghargaan kepada 3,000 sukarelawan yang menyertai ujian klinikal suntikan vaksin COVID-19 di seluruh negara.

Katanya, rakyat menyaksikan tahap keberanian dan keprihatinan anak-anak muda Malaysia yang berdiri di medan hadapan untuk pertiwi.

“Terima kasih kepada 3,000 sukarelawan yang menyertai ujian klinikal suntikan vaksin COVID-19 di seluruh negara.

“Saksikan tahap keberanian dan keprihatinan anak-anak muda Malaysia. Berdiri di medan hadapan untuk pertiwi.

“Saya yakin seluruh rakyat Malaysia berterima kasih, terhutang budi dan mendoakan kesejahteraan saudara saudari semua,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.