Zahid Beri Jaminan Akan Ketengahkan Lebih Banyak Isu-isu Berkaitan Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan mengetengahkannya sebanyak yang boleh isu-isu berkaitan rakyat dengan menjadikan media sosial sebagai platform untuk berinteraksi dan bersuara.

Beliau mengakui ramai yang meminta untuk diketengahkan lebih banyak isu terutama berkaitan bebanan dan kesukaran hidup pada masa ini, pengangguran dan bermacam-macam lagi.

“Namun saya berharap saudara saudari memahami jua saya tiada dalam sebarang kedudukan untuk membuat keputusan bagi pihak kerajaan. Saya adalah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang tidak memegang tampuk pentadbiran negara.

“Apa yang boleh saya lakukan dalam kapisiti yang terhad ini adalah akan bersuara dan terus bersuara demi kepentingan kita semua. Jika perkara yang dibangkitkan itu tidak dilayan pihak berwajib, saya cuma mampu memohon maaf kepada saudara saudari,” katanya dalam hantaran menerusi laman sosialnya, hari ini.

Ujarnya, biarpun ada beberapa Ahli Parlimen BN dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri, tetapi ia bukanlah bersifat partisan, bahkan ada kuasa yang lebih mendahului mereka.

“Jika anda melihat saya sebagai orang yang boleh bersuara, ya… saya ada melakukannya seperti yang saya lakukan dalam pembentangan Bajet dan banyak lagi sebelum ini.

“Saya ingat, saya juga boleh bersuara melalui Parlimen tetapi apakan daya, persidangan tidak dibenarkan sekarang,” maklumnya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk

Terdahulu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pengisytiharan darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung penularan Covid-19 sehingga 1 Ogos depan atau tarikh lebih awal, jika kes harian Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Sehubungan itu, Sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung sehingga tempoh kecemasan tamat sementara kedudukan dan tanggungjawab semua ahli Parlimen sebagai wakil rakyat tetap sama seperti sedia kala. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.