UMNO Rasional, Realistik… Sentiasa Pejuang Nasib Rakyat – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata parti itu sentiasa memberikan pandangan yang membina kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

Katanya, UMNO juga sentiasa bersikap rasional serta mendokong langkah-langkah yang dilakukan kerajaan terutama sekali ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

“Isu darurat, kami beri sokongan supaya matlamat kerajaan bagi menangani COVID-19 ini benar-benar mencapai sasarannya.

“Dalam keadaan itu pun UMNO masih lagi melakukan semak dan imbang… masih lagi bersuara kerana UMNO sebahagian daripada kerajaan iaitu kerajaan PN yang diwujudkan adalah sokongan daripada ahli-ahli Parlimen UMNO,” katanya menerusi Podcast Penerangan Pemuda UMNO Balik Pulau, baru-baru ini.

Menurut beliau, UMNO sentiasa memberikan pandangan yang realistik terutama sekali apabila melibatkan kepentingan masyarakat yang dilihat semakin terbeban kerana penularan pandemik ini.

“Atas sebab itulah pandangan-pandangan parti termasuk pandangan akar umbi yang sokong supaya dilakukan moratorium.

“Siapa yang banyak bercakap dan menuntut supaya moratorium itu dilaksanakan? Daripada UMNO dan pemimpinnya, begitu juga dari segi soal pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja… banyak idea timbul daripada UMNO.

“Soal Tabung Haji… kedudukan yang disuarakan oleh Pemuda UMNO jadi itu peranan yang dimainkan oleh UMNO… hanya tak nampak radikal sangat kerana UMNO juga adalah sebahagian daripada kerajaan yang ada pada hari ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata walaupun UMNO bukan pengemudi kerajaan namun barisan jemaah menteri juga turut dianggotai oleh beberapa ahli Parlimen daripada UMNO

“Walaupun banyak keputusan itu diperingkat nasional bukan diputuskan oleh UMNO tapi UMNO juga ada wakil-wakilnya dalam kerajaan sebagai menteri serta timbalan menteri.

“Jadi di sinilah mungkin kita patut menilai sama ada wakil-wakil UMNO dalam kerajaan itu prestasi mereka menonjol atau tidak,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.