Rayu Kerajaan Lebih Prihatin, Bantuan Untuk Rakyat Tidak Menyeluruh

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa simpati terhadap nasib rakyat ekoran pengagihan bantuan kerajaan yang didakwa tidak menyeluruh.

Dalam hal ini, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merujuk kepada laporan media berkaitan lebih 1,000 pemandu bas ekspres dalam Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) berasa kecewa kerana tidak disenaraikan sebagai penerima pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

“Pengagihan bantuan tersebut didakwa tidak menyeluruh sedangkan pemandu bas ekspres antara golongan paling terkesan akibat penularan COVID-19.

“Ada pemandu bas ekspres didakwa langsung tidak menerima gaji menyebabkan sebahagian mereka terpaksa bekerja sebagai buruh untuk menyara hidup.

“Saya simpati membaca nasib pemandu-pemandu bas ini. Saya berharap abang-abang pemandu bas tabah mengharungi kesukaran ini,” katanya dalam kenyataan menerusi laman media sosialnya berkaitan ini tersebut.

Jelas beliau, bukan pemandu bas sahaja yang sedang menghadapi masalah seperti ini kerana ramai pekerja sektor lain senasib dengan mereka.

“Kita rayu kerajaan lebih prihatin terhadap nasib mereka ini. Mereka juga rakyat yang perlu dijaga dan dibela oleh kerajaan secepat mungkin.

“Pengumuman Bantuan Kewangan One-Off RM500 kepada pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing belum kunjung tiba sejak 18 Januari lalu,” katanya lagi.

Terdahulu beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap isu pergaduhan melibatkan geng kongsi gelap sebagimana yang dilaporkan apabila terdapat pergaduhan melibatkan kawasan jualan dadah baru-baru ini.

“Isu ini antara fokus saya semasa di KDN dulu. Semua rakyat di negara ini perlu peduli terhadap aktiviti tersebut dan tidak meletakkan sepenuh tangungjawab (membanterasnya) kepada pihak berkuasa,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.