Rampasan Kuasa Tentera Myanmar Sangat Mendukacitakan, Malaysia Perlu Panggil Mesyuarat ASEAN

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia perlu memanggil segera mesyuarat Menteri Luar ASEAN dan meneroka penyelesaian politik untuk Myanmar.

Ujarnya, rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar adalah sangat mendukacitakan dan iaa sekaligus merencatkan reformasi ke arah demokrasi di Myanmar.

“Malaysia mesti segera mendesak agar semua pemimpin parti The National League for Democracy (NLD) di bebaskan segera dari tahanan dan hak asasi mereka di hormati.

“Junta tentera wajar menghormati keputusan pilihanraya umum pada November lepas yang memberikan kemenangan besar kepada NLD, iaitu sebanyak 356 dari 412 kerusi,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit.

Tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, ASEAN tidak lagi boleh hanya menjadi pemerhati pegun terhadap konflik yang membimbangkan ini.

“Mengembalikan demokrasi dan memelihara kepentingan hak asasi manusia adalah urusan ASEAN dan ia mesti menjadi pencatur keamanan yang diyakini untuk rantau ini,” katanya lagi.

Dilaporkan, Myanmar menghadapi rampasan kuasa oleh tentera pada awal Isnin dengan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, Presiden Myanmar U Win Myint dan lain-lain pegawai kanan ditahan di ibu kota Naypyidaw.

Media antarabangsa memaklumkan tentera Myanmar telah mengambil alih negara itu menerusi rampasan kuasa serta mengisytiharkan darurat selama setahun selepas menahan pemimpin politik dan pemimpin kanan kerajaan atas dakwaan penyelewengan dalam pilihan raya negara tersebut pada November 2020. – UMNO Online