PKP Dilanjutkan Sehingga 18 Feb – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang sedang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak, yang dijadualkan berakhir pada 4 Feb ini, dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 18 Feb depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil atas penilaian risiko dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menyaksikan trend peningkatan kes di semua negeri.

Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini, katanya pada sidang media perkembangan PKP di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

“KKM mengesahkan kes harian di kesemua negeri-negeri ini masih menunjukkan trend peningkatan dengan kadar positivitinya dalam kluster adalah 20 hingga 40 peratus, malah penularan sporadik dalam komuniti juga tinggi yang melibatkan warga negara dan juga yang bukan warganegara.

“Sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKP 2.0 di seluruh negara bermula dari 5 hingga 18 Feb kecuali kawasan-kawasan di Sarawak yang telah diisytiharkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB),” katanya.

Beliau berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sama masih digunakan termasuklah larangan rentas negeri dan tiada aktiviti sosial dibenarkan.

“Setiap keputusan dibuat adalah berdasarkan data yang dikeluarkan oleh KKM… apabila kita buka rentas negeri satu ketika dulu, ianya telah menyumbang kepada peningkatan kes positif COVID-19, terdapat 31 kluster yang berkaitan dengan rentas negeri,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata terdapat SOP yang bakal diperketatkan lagi, sebagai contoh mengehadkan jumlah orang masuk ke dalam pasar raya bagi mengelakkan berlakunya perkumpulan ramai.

“Serentak dengan sambungan PKP ini kita akan meneruskan SOP-SOP yang lebih ketat lagi yang akan dikeluarkan oleh MKN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata MKN sedang mengkaji serta menimbang permohonan dan rayuan sektor-sektor perniagaan yang tidak dibenarkan beroperasi agar mereka boleh membuka semula perniagaan.

Bagaimanapun, setiap permohonan, misalnya kedai cuci kereta, kedai gunting rambut, salun serta lain-lain sektor hanya akan diluluskan setelah penilaian risiko dibuat oleh KKM sebelum dibentangkan di Sidang Khas MKN untuk kelulusan.

“Setiap permohonan kita tidak tolak sebegitu sahaja…semuanya kita kaji, teliti, dapatkan pandangan daripada KKM, dan dari penilaian risiko KKM, jika ia boleh dibenarkan, maka kita akan benarkan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.