COVID-19: Kes Semakin Naik, Kerajaan Digesa Segerakan Pemberian Vaksin – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa kerajaan segera memberikan vaksin COVID-19 kepada rakyat negara ini sebagaimana yang dijanjikan.

Ujarnya ini kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) pernah berjanji ia akan diberikan pada hujung bulan ini.

“Feb 2021 bulan yang penting. Kerajaan PN berjanji yang vaksinasi rakyat bermula hujung bulan ini.

“Walau banyak negara sudah mulakan, kita tunggu dengan penuh sabar ditambah kes-kes harian yang tidak turun-turun,” ciapnya di Twitter.

Dilaporkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan Pelan Imunisasi Kebangsaan dijangka bermula seawal bulan ini yang melibatkan suntikan satu juta dos vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech kepada rakyat Malaysia.

Buat permulaan, petugas barisan hadapan dan pesakit kronik seperti kencing manis dan masalah buah pinggang akan terlebih dahulu menerima vaksin itu.

Manakala baki 6.2 juta vaksin akan diberikan kepada 80% rakyat Malaysia secara berfasa dan Malaysia dijangka menerima penambahan vaksin pada April dan Mei depan.

Seterusnya, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut menimbulkan persoalan mengapa kes harian tidak turun sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Proklamasi Darurat diumumkan.

“Mengapa tak turun walau ada PKP dan Darurat? Jangan salahkan rakyat. Segerakan vaksin,” tegasnya lagi.

Semalam, KKM dalam satu kenyataan berkata Malaysia kekal mencatatkan jumlah kes harian COVID-19 melepasi 5,000 bagi tempoh tiga hari berturut-turut dengan 5,298 kes dilaporkan pada hari berkenaan.

Pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 214,959 kes. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.