Kes Dera Kanak-Kanak, Semak Kesihatan Mental – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Pergerakan Wanita UMNO Malaysia menzahirkan rasa hiba dan simpati ke atas kematian seorang kanak-kanak lelaki akibat didera.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad malah berkata lebih mengecewakan apabila dilaporkan pelaku adalah ibu kandung dan bapa tiri mangsa.

“Keluarga yang sepatutnya menjadi tempat berlindung namun malang ia berlaku sebaliknya.

“Wanita UMNO memandang serius kes seperti ini. Justeru, Wanita UMNO mendesak agar pihak berwajib mengambil tindakan tegas dengan segera akan pelaku dihadapkan ke muka pengadilan sekaligus menjadi pengajaran kepada orang ramai,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau juga berharap agar kerajaan dan pihak yang berkaitan dapat melihat tahap kesihatan mental rakyat yang sedikit sebanyak terkesan akibat daripada pandemik COVID-19.

“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, kes penderaan kanak-kanan yang melibatkan ibu bapa mencatatkan peningkatan sehingga 20 peratus sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula sejak Mac tahun lalu.

“Kes-kes yang berlaku seperti ini menunjukkan tahap mental orang ramai yang semakin terganggu sehingga sanggup melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya terhadap kanak-kanak,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mengajak masyarakat untuk lebih cakna berkenaan isu penderaan ini agar ianya dapat dibendung.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut dipercayai akibat didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ACP Mohd Sukri Kaman berkata kanak-kanak tersebut didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu.

Beliau berkata siasatan awal bagaimanapun mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa sebelum polis menahan ibu dan bapa tiri mangsa, masing-masing berusia 32 dan 38 tahun. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.