Kerajaan PH Jatuh Sebab Zalim… Kerajaan PN Beringatlah – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan sesebuah kerajaan seharusnya peka dengan rakyat serta tidak mengamalkan sikap yang zalim di dalam berhadapan dengan sesuatu isu.

“Selain integriti dan tepati janji sebagai asas utama kerajaan yang diyakini rakyat, nilai adil dan tidak zalim juga sangat penting,” ujarnya menerusi satu hantaran di Twitternya.

Beliau yang juga Setiusaha Agung Barisan Nasional mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar menjadikan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) suatu ketika dahulu sebagai iktibar.

“Banyak kerajaan di dunia ini yang jatuh kerana sifat zalim pemimpin kerajaan kepada lawan politiknya dan rakyat terbanyak.

“Kerajaan PH jatuh sebab zalim dan kerajaan PN beringatlah,” tegasnya.

Terdahulu, kerajaan PH tumbang 24 Feb tahun lalu apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan PPBM keluar dari PH, selain 11 anggota PKR turut keluar dari gagasan itu.

Ekoran itu, Perikatan Nasional dibentuk sebagai noktah terhadap kemelut politik yang mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri atas sokongan dari UMNO, PAS, MCA, MIC, PBRS, Gabungan Parti Sarawak dan wakil bebas.

Sepanjang 22 bulan pentadbiran PH ternyata janji ‘Malaysia Baharu’ mengecewakan rakyat ekoran kegagalan menunaikan janji-janji semasa PRU-14 lalu malah sebaliknya yang berlaku.

Antara janji-janji PH sebelum berkerajaan ialah hapus hutang PTPTN, warga petani, peladang dan nelayan akan dijaga kebajikan lebih baik selain warga Felda dan Risda turut dijanjikan penghapusan hutang, kos sara hidup turun, peluang pekerjaan 1 juta, harga minyak petrol di bawah RM1.50, tol akan dimansuhkan, BR1M akan dinaikkan, undang-undang negara akan diperbaiki di samping kestabilan politik dan ekonomi negara lebih baik.
UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.