PdPR: Pemuda UMNO Kedah Sumbang Tablet Kepada Anak Yatim 9 Beradik

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan tahniah kepada Pemuda UMNO Kedah di atas inisiatif membantu sembilan orang anak yatim dengan menyampaikan tablet bagi memudahkan mereka untuk mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurut Asyraf, bantuan tersebut disampaikan oleh Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohamad Fadzil Zolkipli dan Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

“Alhamdulillah, Pemuda UMNO Kedah terus menyerahkan dua tablet beserta talian untuk dimanfaatkan oleh keluarga ini.

“Utusan Malaysia melaporkan perihal 9 adik-beradik yatim yang hanya bergantung kepada telefon bimbit ibu mereka, Saaidah Puteh untuk bergilir-gilir mengikuti kelas PdPR.

“Tahniah buat Pergerakan Pemuda UMNO Kedah kerana cepat bertindak turun membantu mereka yang memerlukan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Asyraf turut menggesa kerajaan mengambil langkah terbaik untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada mengikuti PdPR.

“Hakikatnya kita tak mungkin mampu untuk membantu semua yang hadapi kekangan menjalani sesi pembelajaran dan pengajaran dalam talian ketika ini.

“Sebab itulah Pemuda UMNO Malaysia mengharapkan kerajaan segera mendatangkan dengan pelan tindakan jangka pendek bagi memastikan tiada pelajar yang ketinggalan daripada sistem pendidikan tatkala pandemik melanda,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.