Jumat Dilantik Penolong Setiausaha UMNO Sabah

 

KOTA KINABALU, 30 Jan – Bekas Ketua UMNO bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris dilantik sebagai Penolong Setiausaha UMNO Sabah.

Majlis penyerahan watikah perlantikan disampaikan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat Kementerian Kerja Raya Sabah pada Jumaat.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin, Ketua Penerangan, Datuk Raime Unggi dan Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, Awang Aslee Lakat.

Jumat yang juga bekas Ahli Parlimen Sepanggar dilantik ke jawatan tersebut bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut setelah penyandangnya sebelum ini Awang Aslee Lakat dilantik ke jawatan setiausaha eksekutif UMNO Sabah ekoran perletakan jawatan penyandang terdahulu Datuk Kadzim M.Yahya yang dilantik menjadi Yang Dewan Undangan Negeri Sabah pada Oktober 2020.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri ketika ditemui selepas penyerahan watikah perlantikan ini berkata Jumat adalah calon yang sesuai menggalas tugas tersebut bagi membantu melicinkan tugas-tugas Jafry sebagai Setiausaha UMNO Sabah yang berhadapan dengan kesibukan tugas sebagai Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar .

” Saya yakin beliau (Jumat) mampu menggalas tugas ini berdasarkan kepada pengalaman beliau yang telah lama berjuang bersama parti sejak awal penubuhan UMNO di Sabah” jelas Bung yang juga Menteri Kerja Raya.

Sementara itu Jumat yang juga bekas calon BN/UMNO DUN Darau pada PRN lepas turut menghargai dan berterima kasih atas kepercayaan Bung serta kepimpinan UMNO Sabah yang memberikan kepercayaan kepada beliau untuk menjawat jawatan tersebut.

” Ini merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan bagi membantu melicinkan urus takbir UMNO Sabah,berbakalkan sedikit pengalaman yang ada dengan bantuan rakan rakan dalam kepimpinan UMNO Sabah insyallah tanggungung jawap ini akan dilaksanakan sebaik mungkin” jelas Jumat.

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.