COVID-19: Ingkar SOP Punca Kes Meningkat – Azlan Man

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Peningkatan kes positif COVID-19 berpunca daripada sikap individu tidak bertangggungjawab yang ingkar dengan prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan oleh kerajaan.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata dengan peningkatan kes tersebut tidak mustahil kerajaan akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 yang pernah dikuatkuasakan sebelum ini.

“Kelmarin, Jumaat, 29 Januari 2021, saya menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Mengenai COVID-19 secara maya. Dalam perbincangan itu, umum bersetuju bahawa pelanggaran SOP di kalangan individu dalam masyarakat adalah punca utama peningkatan mendadak bilangan kes harian.

“Jika peningkatan ini berterusan, kerajaan mungkin terpaksa mengetatkan lagi penguatkuasaan SOP. Malah tidak mustahil ‘lockdown’ sepenuhnya akan diperkenalkan semula, jika tiada pilihan lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ulasnya lagi, bagaimanapun sekiranya langkah tersebut dilakukan negara akan berdepan dengan beban yang besar kerana perlu menampung kebajikan rakyat sepanjang tempoh tersebut.

“Kesan ke atas ekonomi negara dan kehidupan harian rakyat amat besar jika ‘lockdown’ dikuatkuasakan semula.

“Kerajaan mungkin tidak mampu untuk menampung perbelanjaan yang besar ini. Akhirnya, rakyat akan menderita,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata bilangan kes harian ini dijangka akan meningkat susulan keputusan saringan lebih dari 600,000 individu lagi bakal diperolehi.

Semalam, Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi apabila 5,725 kes baharu COVID-19 direkodkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara mencecah 203,933 kes.

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam kenyataan juga berkata, peningkatan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak terbabit dalam negara bertambah kepada 203,933 kes dengan kebolehjangkitan 45,478 kes. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.