UMNO Pegang Teguh Keluhuran Demokrasi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengelat dan berpegang teguh kepada keluhuran demokrasi.

“Sebab itu kerajaan BN dulu tidak sekat pendaftaran PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). UMNO/BN parti ‘gentleman’.

“Yang tak demokrasi dan tak ‘gentleman’ adalah mereka yang cuba membatalkan pendaftaran UMNO.

“Kita bersama-sama tetap mempertahankan parti keramat bangsa ini demi agama dan negara tercinta,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook petang ini.

Merujuk kepada keratan akhbar yang bertajuk “RoS tolak pendaftaran parti Pejuang’, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN membidas parti tersebut yang pada awalnya marah kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) kerana belum meluluskan pendaftaran parti mereka.

“Kemudian boleh kata pula terlalu banyak parti politik di Malaysia tak bagus untuk demokrasi.

“Realitinya, parti-parti baharu dari serpihan UMNO ditubuhkan oleh orang yang sama dan kuncu-kuncu dari DNA UMNO.

“Semuanya untuk mencapai kepentingan peribadi,” selarnya lagi.

Tambahnya, ini berbeza dengan UMNO yang tetap kekal dulu, kini dan selamanya parti keramat bangsa dan agama.

“Bersama parti komponen BN kita membentuk gagasan Malaysia sejahtera,” katanya.

Sebagai rekod, Pejuang atau nama penuhnya Parti Pejuang Tanah Air ditubuhkan pada Ogos tahun lalu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan pengasas PPBM.

Pada awal bulan ini, RoS menolak pendaftaran parti itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.