Tidak Kira Apa Jua Keadaan, UMNO Akan Berusaha Salurkan Sumbangan Bantu Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Tanpa mengira apa jua keadaan, UMNO akan berusaha menyalurkan sumbangan bagi membantu rakyat, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sambil mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT, seterusnya Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata bagi pihak UMNO, parti sedaya upaya mahu membantu golongan yang memerlukan.

“Baru-baru ini saya berkesempatan melepaskan konvoi Misi Bantuan Banjir Pahang 2021 di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur). Misi yang turut disertai aktivis kebajikan yang juga pelakon, Datuk Adi Putra melepaskan 15 kenderaan pacuan empat roda dan kereta dengan membawa beras serta bekalan makanan.

“Sekalung penghargaan buat sukarelawan daripada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Demi Ummah yang terlibat di lapangan mengedarkan barangan berkenaan,” katanya di Facebook, yang turut memuat naik video kreatif misi tersebut.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, misi pengedaran dibuat di beberapa lokasi banjir iaitu Temerloh, Jerantut dan Pekan berserta kawasan lain.

Jelasnya juga, sebelum pelepasan dibuat, beliau berpesan kepada sukarelawan supaya menjaga prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi membendung penularan wabak COVID-19. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.