‘Swab Test’: ‘Tweet’ Ahli Parlimen Pembangkang Cuba Kelirukan Orang Ramai – Rizam

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail berpandangan ‘tweet’ Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berhubung keperluan ‘swab test’ kononnya melibatkan semua penyewa di kondominium seakan cuba mengelirukan orang ramai.

Menurut beliau, perkara berkenaan tidak melibatkan polisi daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebaliknya bergantung kepada pengurusan pihak kondominium itu sendiri dalam menguatkuasakan arahan mereka.

“Semalam saya mendengar sidang harian yang dibuat oleh Menteri Kanan Pertahanan. Secara jelas Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan bahawa tiada polisi daripada MKN mengatakan warga asing yang hendak masuk ke dalam kodominium atau mana-mana perumahan mesti dibuat ‘swab test’, ia terpulang kepada pihak pengurusan kondominium demi menjaga keselamatan penduduk di kawasan mereka

“Jadi, Saya melihat terdapat ‘tweet’ yang menyimpang daripada Hannah Yeoh dan Fahmi Fadzil berkenaan keperluan ‘swab test’ kononnya melibatkan semua penyewa di kondominium.

“Bukankah kawasan perumahan, kondominium, apartment tertutup adalah kawasan ‘private’ yang mana pengurusan boleh membuat peraturan di dalam kawasan mereka. Malah mereka boleh membuat peraturan menyekat pelawat, contohnya di Sarawak, orang luar tidak dibenarkan melawat rumah-rumah panjang,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor berkata demikian sebagai mengulas ‘tweet’ daripada kedua-dua ahIi parlimen berkenaan berkaitan ‘swab test’ yang melibatkan penghuni kondominium dan sebagainya lagi.

Sebelum ini, memetik kenyataan Ismail Sabri yang dilaporkan berkata tiada polisi daripada MKN mengatakan sesiapa yang hendak masuk ke dalam kondominium atau di mana-mana kawasan perumahan mesti dibuat ‘swab test’ dahulu, tetapi tidak menghalang pihak kondominium atau mana-mana kawasan perumahan bagi menjaga keselamatan penduduk kawasan mereka untuk mengeluarkan arahan sedemikian.

Tambah Rizam, bagi menjamin keselamatan penghuni masing-masing, jika pengurusan membuat peraturan bahawa penyewa warga asing perlu membuat saringan, maka itu sudah tentunya adalah hak mereka.

“Namun bagi Hannah Yeoh dan Fahmi Fadzil, apakah mereka ini merupakan pejuang warga asing? Bagi mereka kos yang ditanggung oleh warga asing untuk saringan COVID-19 lebih berharga dari nyawa rakyat Malaysia. Janganlah kera di hutan disusukan tapi anak di rumah mati kelaparan,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.