Reezal Kagum Semangat Pertubuhan Beruniform MBM, KBS Terus Beri Sokongan

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kagum dan menghargai semangat yang ditunjukkan oleh pertubuhan beruniform badan gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam melaksanakan khidmat kepada masyarakat tanpa rasa lelah dan penat sepanjang masa.

Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata beliau juga dapat lihat bagaimana mereka turut terlibat dalam menangani ancaman wabak COVID-19 serta membantu negeri-negeri yang terlibat dalam bencana banjir.

“Pada saya, mereka ini sebenarnya ‘frontliners’ yang mengkhidmati di pelbagai peringkat.

“Satu perkara yang saya kagumi dengan pertubuhan beruniform ini adalah sifat disiplin yang menjadi acuan dalam pembentukan kepimpinan bermula dari peringkat persekolahan dan belia,” ujarnya dalam satu entri di Facebook.

Ulasnya lagi, agenda memperkasa belia untuk tahun 2021 ini diteruskan dengan menyantuni para pimpinan pertubuhan beruniform badan gabungan MBM secara dalam talian.

“Antara wakil badan-badan beruniform yang hadir secara maya hari ini adalah Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Persekutusan Pengakap Malaysia, Pergerakan Puteri Islam Malaysia, Briged Putera Malaysia, Briged Puteri Malaysia dan Persatuan St.John Ambulans Malaysia.

“Turut serta ialah Senator Wan Ahmad Fayhsal, Timbalan Menteri dan Saudra Jufitri Johar, Presiden MBM,” katanya.

Seterusnya, Reezal juga mengucapkan terima kasih kepada MBM, tunjang gerakan belia serta semua pertubuhan beruniform yang dapat turut serta.

“Dalam pertemuan ini juga, saya mengumumkan komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk terus memberi sokongan melalui peruntukan dana pentadbiran kepada pertubuhan beruniform ini.

“Insya-Allah, komitmen yang saya berikan dalam memperkasa agenda belia ini akan saya teruskan dengan perjumpaan bersama ahli-ahli Majlis Dewan Tertinggi Belia pada minggu hadapan.

“Saya percaya dengan memperkasa belia, kita mencipta sinar untuk masa depan negara,” ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.