Pemimpin Istiqamah Kunci Kekuatan UMNO – Wanita UMNO Pahang

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Pergerakan Wanita UMNO Negeri Pahang mengingatkan ahli parti serta pemimpin untuk tidak menggadaikan amanat parti demi kuasa.

Ketuanya, Datuk Siti Hajar Mubin berkata keadaan ini susulan kekesalan beliau dengan tindakan beberapa pihak yang seolah-olah tidak menghormati institusi Presiden dan Perlembagaan parti.

“UMNO adalah sebuah parti Melayu bermaruah ditubuhkan lengkap dengan Perlembagaan dan tatacara penuh berhemah.

“Namun ada segelintir ahli parti yang menggunakan hak kebebasan bersuara membuat gesaan agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengundurkan diri.

“Sedangkan sudah jelas dalam Perlembagaan mestilah melalui proses pemilihan parti dalam jangka masa yang telah diputuskan,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau yang juga Ketua Wanita Bahagian Jerantut berkata sebagai sebuah parti yang bermaruah serta penuh hemah, ahli parti hendaklah menghormati institusi Presiden tersebut dalam apa keadaan sekalipun.

“Kerana kita telah menempuhi berbagai onak duri apabila parti tercinta kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Berbagai dugaan dan cabaran terpaksa kita semua hadapi dengan kehilangan hala tuju, semangat ahli yang menurun disebabkan kekalahan mengejut, hilang keyakinan diri berdepan dengan masyarakat sehingga malu hendak memakai baju lambang Barisan Nasional (BN), kewangan dibekukan, hilang jawatan dalam kerajaan yang paling utama hilang kuasa yang kita miliki sebagai pemerintah di negara tercinta,” ujarnya.

Tambah beliau, UMNO beruntung kerana mempunyai pemimpin-pemimpin yang setia dan istiqamah dalam perjuangan parti untuk melawan segala fitnah yang ditomah oleh pihak-pihak lain yang tidak berpuas hati dengan parti ini.

“Mereka ini memberikan semangat untuk ahli UMNO di setiap negeri dan akar umbi maka UMNO bangkit kembali seperti mana sekarang.

“Wira-wira ini tidak lain tidak bukan adalah terdiri daripada Presiden parti iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hassan dan naib-naib Presiden serta tidak lupa pada Datuk Sri Najib Tun Razak yang mula bangkit dengan ungkapan ‘malu apa bossku’ sedikit sebanyak telah melonjakkan semangat ahli parti ke satu tahap amat membanggakan terbukti dengan kejayaan pilihan kecil sebelum ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.