Santuni Resmi Perjuangan UMNO, Prinsip Muafakat Demi Pembelaan Bangsa – Norliza

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim memohon agar ahli-ahli UMNO berilah sokongan pada parti dari tiang, alang hinggalah atapnya dan berhentilah membiakkan barah.

Katanya, orang luar mungkin mahu melihat UMNO ini terkubur, maka janganlah kita yang di dalamnya pula yang sibuk menyiapkan kapan dan kerandanya kerana UMNO tidak sekali-kali akan terkubur.

“Parti UMNO sentiasa mendepani dengan saat paling getir dalam perjuangan. Pastinya bukan sekadar bersetia dan berkhidmat, ia harus bermula dengan bersatu. Kata bijak pandai, kota yang besar bukan roboh kerana gagahnya armada musuh, sebaliknya ditebuk dari dalam secara diam dan terang,” katanya yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysiamerangkap Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, Wanita UMNO Pulau Pinang memandang tindakan segelintir dari kita yang mengeluarkan kecaman, kata nista melalui media sosial dan kain rentang terhadap pengunduran Presiden UMNO sebagai tindakan membunuh parti secara terang.

“Sekalipun tepian tetap akan berganjak apabila air gedang, namun ia bukanlah alasan untuk kita biadap dalam berjuang. UMNO lahir dari jiwa pendukungnya yang besar. Janganlah hanya kerana ujian yang kita lalui hari ini menjadikan pemikiran dan jiwa kita semakin sempit dan mengecil.

“Sekalipun kita berbeza pendapat tapi janganlah beralas dengki dan hasad. Berhujahlah dalam gelanggang dengan hati yang lapang. Menegurlah dengan matang. Bertikam lidah takkan membenam gundah. Matanglah mengendalikan situasi. Saat ini parti memerluan ahli yang setia, teguh dan bijaksana dalam bertindak,” katanya.

Tegas beliau, Wanita UMNO Pulau Pinang tetap bersama parti berdiri teguh pada saat apapun.

“Menghormati institusi presiden dan menyantuninya atas prinsip muafakat dan pembelaan bangsa Melayu,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.