Azmin Harus Tampil Perjelas Kejatuhan Teruk FDI Malaysia Berbanding Negara ASEAN Lain


KUALA LUMPUR, 28 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia meminta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk segera tampil menjelaskan kepada rakyat tindakan segera Kerajaan bagi menangani kejatuhan teruk Pelaburan Langsung Asing (FDI) dalam negara.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, amat menyedihkan lagi mengecewakan, Malaysia yang satu ketika sentiasa berada pada kedudukan teratas dan dikenali sebagai destinasi mesra dan tumpuan utama pelabur asing, kini berkedudukan tercorot.

Beliau berkata demikian merujuk kepada Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang baru sahaja diterbitkan tiga hari lalu, FDI Negara-Negara ASEAN bagi tahun 2020 adalah seperti berikut:

Singapura: US$ 58 bilion (jatuh 37%)
Indonesia: US$ 18 bilion (jatuh 24%)
Vietnam: US$ 14 billion (jatuh 10%)
Thailand: US $ 11.4 billion (jatuh 50%)
Philippines: US $ 6.4 billion (naik 29%)
Malaysia: US $ 2.5 billion (jatuh 68%)

“Nampaknya kepercayaan dan keyakinan (trust and confidence) pelabur masih belum pulih terhadap Malaysia setelah berlakunya perubahan Kerajaan pada 2018.

“Antara punca utama adalah Ketiadaan Polisi Ekonomi Jelas yang membentuk persepsi bahawa Kerajaan boleh menukar dasar sedia ada yang mungkin tidak memihak pelabur untuk segmen tertentu,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya hari ini.

Jelasnya, antara perkara yang menjadi faktor penentuan kemasukan pelaburan asing ialah prinsip Pengurusan Risiko pelaburan dan perdagangan antarabangsa yang dipanggil ‘Sovereign or Political Risk’ atau Risiko untuk berdagang dengan sesebuah negara. “Indikator penting ‘Sovereign Risk’, ialah apabila kontrak-kontrak yang termetrai boleh berubah apabila berubahnya sesebuah kerajaan.

“Banyak peristiwa yang menyumbang kepada peningkatan ‘SOVEREIGN RISK’ atau persepsi risiko untuk berdagang dengan Malaysia setelah jatuhnya Kerajaan BN tahun 2018.

“Semua insiden ini amat mempengaruhi persepsi dan sentimen pelabur luar negara ke atas Malaysia hingga menjunamnya kejatuhan nilai FDI yang pastinya memberi kesan langsung kepada peningkatan kadar pengangguran dan pembuangan kerja apabila banyak syarikat-syarikat dan kilang-kilang ditutup atau berpindah ke negara-negara jiran.

Dalam hal ini beliau memberikan insiden antara peristiwa yang menyumbang kepada peningkatan ‘sovereign Risk’ atau persepsi risiko iaitu:

(a) Pembatalan kontrak perjanjian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan syarikat konglomerat Negara China, China Communications Construction Group Ltd (CCCC).

(b) Penamatan kontrak perjanjian projek HSR dengan Kerajaan Singapura.

(c) Penamatan projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) sepanjang 600km daripada Melaka dan Port Dickson ke Kulim Kedah bernilai RM 5.35 bilion

(d) Pembatalan projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) sepanjang 662km daripada Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau bernilai RM4.04 bilion walaupun proses pembinaan sedang berjalan

(e) Pembatalan projek-projek infrastruktur di Sarawak yang menghubungkan kawasan terpencil seperti jambatan Batang Rambungan, Kuching; jambatan Kuala Kemena, Bintulu; jambatan Batang Lassa, Mukah; jambatan Batang Saribas, Betong; jambatan Batang Krian, Betong dan jambatan Batang Paloh, Mukah. Kerajaan Sarawak terpaksa membiayai sendiri projek ini bagi mengelakkan rakyat negeri tersebut ketinggalan

(f) Tuduhan liar wujud korupsi dan penyelewengan terhadap syarikat Negara China yang berurusan di Malaysia setelah PH naik memerintah sedangkan Presiden Xi Jinping antara yang keras dan tegas menentang korupsi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.