Tolak Agenda Peribadi, Semua Pihak Perlu Bergerak Seiring Kukuhkan Parti

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa berpandangan waktu ini bukanlah masa yang sesuai untuk sebarang agenda kepentingan peribadi kerana parti perlu diperkukuhkan dan menjadi lebih utuh dalam persediaan menempuhi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bakal mendatang.

Ketuanya, Roshan Zaki Othman berkata lebih menyedihkan apabila tindakan pemimpin-pemimpin bahagian ini akan lebih mencalarkan imej UMNO di mata dan hati rakyat.

“UMNO di seluruh negara perlu berpadu, bergerak seiring dan melakukan yang terbaik bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sebuah parti yang telah lama menyumbang bakti kepada negara yang kita cintai ini.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun menetapkan bahawa pemilihan akan berlaku pada tahun ini dan biarlah kedudukan Presiden ditentukan di situ. Tanggungjawab ahli parti khususnya yang mempunyai jawatan tertinggi di dalam bahagian sekarang adalah untuk menyatupadukan ahli dan menyantuni rakyat di dalam kawasan,” katanya dalam satu catatan Facebook.

Ujar beliau, di kala pandemik COVID-19 yang semakin menular, Pemuda UMNO Setiawangsa mengajak seluruh ahli UMNO memberi tumpuan kepada agenda membantu rakyat dan bukan membawa agenda-agenda individu atau kumpulan tertentu.

Justeru, kata Roshan lagi, pihaknya tidak menyokong usaha kumpulan tertentu termasuk individu berjawatan di dalam bahagian Setiawangsa yang mendesak Ahmad Zahid untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.

“Individu-individu ini dilihat sengaja ingin menimbulkan kemarahan ahli parti dengan mengeluarkan cerita-cerita dalaman parti yang kiranya telah dibincangkan secara terperinci di dalam Majlis Kerja Tertinggi.

“Malah, tindakan mendesak Presiden UMNO untuk meletakkan jawatan seolah-olah satu tindakan terancang daripada kumpulan tersebut yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dilakukan oleh Presiden yang juga mendapat makluman Ahli Majlis Kerja Tertinggi.”

Sekali lagi ujarnya, Pemuda UMNO Setiawangsa mahukan gencatan politik dalaman direalisasikan segera.

“Setiap bahagian, khususnya di Setiawangsa perlu memantapkan gerak kerja membantu rakyat dan menjadi jurubicara rakyat bersama memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali menjadi tunjang dalam memimpin dan menjadi sandaran buat seluruh rakyat Malaysia,” tegasnya – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.