Lanjutan Moratorium Bukannya Penstrukturan Dan Penjadualan Semula Pinjaman, Tegas Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar pihak Kementerian Kewangan serta Bank Negara dapat mengeluarkan arahan jelas kepada institusi kewangan bagaimana moratorium harus dilaksanakan.

Tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, adalah tidak wajar bagi institusi kewangan mengaut sebarang keuntungan tambahan dalam bentuk apa-apa fi atau caj bunga ke atas baki pinjaman atas apa alasan sekalipun.

“Kerajaan juga perlu segera menyiasat laporan yang mengatakan terdapat institusi kewangan mengambil kesempatan atas nama penangguhan pembayaran pinjaman tanpa melaksanakan moratorium tetapi menawarkan penjadualan semula pinjaman atau penstrukturan semula pinjaman (R&R; rescheduling and restructuring) dengan memberi penundaan pembayaran pinjaman untuk tempoh beberapa bulan tetapi kemudian memanjangkan tempoh pembayaran yang akhirnya memberi keuntungan kepada pihak kreditor.

“Saya percaya lanjutan moratorium ini akan dapat digunakan sebaiknya oleh rakyat bagi menampung serba sedikit kekurangan tunai mereka dan secara tidak langsung, meningkatkan aliran tunai dalam pasaran,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Ahmad Zahid yang sebelum ini pernah menjadi pengerusi sebuah institusi kewangan juga berkata sektor perbankan tidak akan mengalami krisis sekiranya perintah perlanjutan moratorium dilaksanakan.

“Ini kerana sektor perbankan di negara kita bukan sahaja masih mengaut keuntungan besar pada tahun lalu, malah sektor perbankan di Malaysia juga berada dalam kedudukan ketahanan modal yang ampuh (well capitalised) dalam mengharungi krisis ini. (pautan)

Ulas Ahmad Zahid lagi, semenjak dari awal perlaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi beliau dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain sudah beberapa kali memberi saranan supaya kerajaan melaksanakan langkah-langkah perlu bagi mengurangkan tekanan ekonomi yang dialami oleh rakyat ketika ini.

“Malah dalam surat saya selaku Presiden UMNO kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri sebelum ini juga saya tekankan agar perihal ekonomi rakyat dijadikan keutamaan dan diberi perhatian penuh oleh kerajaan.

“Dalam keadaan sekarang ini, bukan hanya golongan B40 sahaja yang terkesan, tetapi juga golongan M40. Ramai yang terjejas pendapatan, dan ada yang terpaksa menambah komitmen bagi berhadapan dengan norma baharu dalam pelbagai perkara,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Justeru gesanya lagi, langkah yang paling cepat impaknya bagi mengurangkan bebanan rakyat adalah lanjutan moratorium secara automatik dan ianya haruslah tidak mengandungi syarat-syarat terselindung, tidak kira lah sama ada kepada peminjam peribadi ataupun perniagaan kecil dan sederhana. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.