Jangan Termakan Hasutan Mahu Pecah-belahkan Parti, Petualang Tiada Tempat Di Dalam Parti – UMNO Jasin

JASIN, 27 Jan – UMNO Bahagian Jasin kecewa kerana ada di antara ahli parti yang masih lagi termakan dengan hasutan untuk memecah-belahkan institusi perjuangan UMNO dengan mendesak perletakan jawatan Presiden UMNO.

Kata Ketuanya, Datuk Hasan Abd Rahman, tiada tempat untuk petualang kerana orang UMNO perlu beradab dan ada ketetapan hati dengan menjunjung konsep wala’.

“UMNO Bahagian Jasin menyeru, sewajarnya pada masa ini, kita seharusnya menyantuni rakyat dengan mengembalikan keyakinan terhadap UMNO.

“Fokus juga harus diberikan kepada usaha pulihkan ekonomi negara dan rakyat akibat terkesan dengan wabak pandemik COVID-19. Justeru itu, gunakanlah sokongan dan mandat UMNO dalam belanjawan 2021 untuk semua pihak menerima manfaat,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, semua ahli perlu ada kekuatan diri dalam menghadapai pelbagai cabaran kerana setiap kelemahan akan mempengaruhi psikologi.

“Justeru itu, UMNO Bahagian Jasin Konsisten untuk memperjuang dan menjuarai isu rakyat dulu kini dan selamanya. Insya-Allah, kekuatan dan kesabaran yang Allah SWT berikan kepada kita dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pasti ada hasilnya sesudah kita menghadapi kesukaran,” katanya.

Ulasnya juga, setiap kejayaan yang ditempa oleh UMNO bukanlah sebuah hikayat atau rekayasa, tetapi hakikat perjuangan berteraskan ketuanan Melayu, asasnya adalah untuk berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

“Kegagalan dalam meneraju kerajaan pada PRU-14 bukanlah alasan untuk mencemar sistem parti sehingga hilang peradaban dengan menggadaikan institusi kepresidenan. Sebaliknya, kita rapatkan saf perjuangan dalam memperkukuh dan mengembalikan kegemilangan UMNO.

“Sememangnya UMNO sebuah parti keramat kerana tetap kental selama 75 tahun. Jangan kerana ketidakpuasan hati sekelumit, menjangkiti yang lain untuk menggugat sistem kepresidenan ini,” tegasnya.

Begitu juga katanya polemik politik murahan sebegini hanya akan melenyapkan sistem dan parti.

“Tanamkan keyakinan dan sokongan kepada institusi presiden, timbalan dan barisan Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia.

“Ikutlah budaya kita orang Melayu. Perbezaan pendapat itu perkara biasa, setiap kesilapan tidak semestinya kesalahan tetapi janganlah mengkhianati perjuangan nan suci,” gesanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.