Hormati Institusi Presiden, Hentikan Desakan Tidak Bermanfaat Yang Melemahkan Parti – Wanita UMNO Selangor

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Ketua Wanita UMNO Negeri Selangor, Datuk Rosni Sohar merasa amat kesal apabila membaca beberapa artikel, tulisan, paparan di media sosial kebelakangan ini oleh individu dan kumpulan yang meminta agar Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi meletakkan jawatan Presiden UMNO.

Tegas Setiausaha Wanita UMNO Malaysia itu, perkara ini lebih tidak bermanfaat dan memberikan impak yang tidak baik kepada imej parti apabila desakan ini juga turut membabitkan pihak dalaman parti sendiri.

“Selaku Ketua Wanita di negeri pembangkang (Selangor), saya ingin menzahirkan kebimbangan saya sekiranya amalan dan senario negatif ini berterusan akan menjadi halangan kepada pengurusan parti di semua peringkat yang kini bermatian mempertahankan kekuatan UMNO menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Jentera dan ahli di akar umbi sentiasa melihat, mendengar dan menilai setiap pergerakan serta perkembangan parti maka keadaan ini turut memberi kegusaran kepada mereka.

“Hakikatnya, tumpuan kita perlu berikan kepada rakyat yang kini amat terkesan dengan bebanan kehidupan menghadapi pandemik COVID-19, bencana banjir yang melanda negara, ketabahan ibu bapa dan guru-guru dalam menjalani teknik persekolahan yang baru serta pelbagai lagi ujian terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya lagi, keperluan dan kemampuan rakyat menangani isu-isu hidup hendaklah diketengahkan dan diberikan keutamaan demi meringankan apa yang ditanggung oleh rakyat kini.

“Peranan selaku pemimpin masyarakat kita perkasakan dan jauhkan dari politik dalam politik yang akhirnya menggoyahkan kepercayaan rakyat kepada parti,” katanya.

Tambahnya juga, UMNO sebagai parti yang bersistematik serta mempunyai mata dan telinga di akar umbi, masih utuh dan berada di hati penyokong serta rakyat yang mendambakan agar parti ini kembali sepenuhnya di dalam pentadbiran negara.

“Kita izinkan dan berikan kepercayaan kepada Presiden serta barisan kepimpinan tertinggi mengorak perjalanan sebaiknya untuk ahli khususnya dan juga rakyat Malaysia secara amnya.

“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Nilai Bersatu-Bersetia-Berkhidmat kita hidupkan kembali dalam langkah perjuangan kita. Kita kembalikan UMNO di hati setiap rakyat,” ujar Rosni yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.