Fokus Kepada Pengukuhan Dan Penyatuan, Bukan Bertindak Melemahkan Parti – Wanita UMNO Kedah

ALOR SETAR, 27 Jan – Wanita UMNO Negeri Kedah menyeru kepada ahli-ahli UMNO khasnya Wanita UMNO Negeri Kedah supaya terus memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada Presiden parti.

Kata Ketuanya, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah, UMNO adalah sebuah organisasi politik yang terbesar di Malaysia, teratur dan lengkap dari akar umbi sehinggalah kepada pucuk pimpinannya serta memiliki sistem pengurusan yang sistematik.

“Namun, tindakan beberapa pihak dari dalam UMNO sendiri yang mendesak presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk meletakkan jawatan adalah tidak wajar sama sekali di saat parti belum benar-benar stabil setelah dipukul ombak dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) yang lalu, malahan inilah waktu ahli-ahli UMNO di setiap lapisan seharusnya memperkukuhkan penyatuan dan bukannya melakukan tindakan yang boleh melemahkan parti.

“Harus diingat, Presiden parti mendapat mandat secara sah dari majoriti ahli UMNO melalui pemilihan yang mengikut lunas perlembagaan parti, maka seharusnya sebarang kritikan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Presiden sebaiknya perlulah melalui saluran dalaman dan tidak akan mengkritik secara terbuka melalui media luar,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ulasnya lagi, sebarang perbezaan pandangan perlu diatasi secara bermusyawarah dan umpama air yang berkocak di dalam cawan tanpa melimpah keluar.

“Ini adalah selaras juga dengan saranan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang mahukan fokus utama UMNO untuk membantu rakyat serta memperkukuhkan gerak kerja dalam mencapai objektif memenangi PRU-15.

“Dalam keadaan negara yang kini dilanda penularan pandemik COVID-19 serta bencana banjir, sudah pasti kebajikan rakyat perlu diutamakan,” katanya.

Tegasnya lagi, sebarang usaha mendesak Presiden meletakkan jawatan hanya akan membawa kepada keadaan yang lebih rumit dan lebih malang jika ada pihak lain yang menangguk di air keruh.

“Marilah kita turut sama memperkukuhkan solidariti kepada Presiden yang bukan hanya bersifat fizikal, sebaliknya melibatkan penyatuan hati, pemikiran dan permuafakatan sesama ahli parti, serta bersama menggalas tanggungjawab mencabar memimpin Parti dalam keadaan sekarang,” katanya.

Beliau juga berharap semua pihak bersama-sama meneruskan usaha memperkasakan kekuatan UMNO agar terus relevan dalam menghadapi PRU-15 akan datang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.