UMNO Parti Perjuangan, Jangan Terikut-ikut Permainan Lawan Untuk Hancurkan UMNO

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menekankan bahawa UMNO merupakan sebuah parti perjuangan bertunjangkan dan berasaskan kepada agama Islam dan bangsa Melayu yang sentiasa menjaga budi pekerti dan adab susilanya.

Sehubungan itu katanya, ahli-ahli parti wajar menghormati institusi Presiden yang dipilih melalui Perhimpunan Agung di samping memperkasa dan memperkukuhkan UMNO mestilah menjadi keutamaan kepada semua pihak setelah gagal menerajui kerajaan di dalam pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14.

“UMNO harus belajar dan muhasabah diri dari kesilapan dan kegagalan ke PRU 14 yang lalu apabila ada pemimpin terikut-ikut dan terbawa-bawa dengan permainan fitnah dan buruk sangka pihak parti lawan yg memang berhasrat untuk melemahkan dan menghancurkan parti UMNO.

“Desakan terbuka dari beberapa pihak tertentu agar Presiden UMNO meletakkan jawatan telah melanggar peradaban dan tidak beretika serta tidak bermaruah,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Jelasnya, tindakan mendesak ini yang didorong oleh kepentingan diri, dendam dan tidak bertanggungjawab telah menyebabkan pihak lawan mengambil kesempatan untuk memecah belahkan dan membangkitkan kegelisahan dikalangan ahli-ahli parti diakar umbi yg penuh yakin UMNO mampu bangkit semula berasaskan kejayaan-kejayaan yg dicapai oleh parti UMNO dan BN di dalam beberapa siri PRK yang telah diadakan.

“Sewajarnya pada masa ini kita mesti bersatu hati, bantu membantu serta memperkukuh dan perkasakan institusi Presiden utk menunjukkan kematangan serta perpaduan jitu kepada rakyat untuk kembali memberi ruang dan peluang agar kembali memimpin dan menerajui kerajaan semula didalam PRU 15.”

Dalam hal ini beliau berkata, UMNO Perak melahirkan rasa kecewa di atas tindakan pihak yang tidak bertanggung jawab yang menaikkan kain rentang di beberapa tempat UMNO Bahagian dalam negeri Perak untuk mendesak Presiden UMNO meletakkan jawatan.

“Sesungguhnya tindakan tersebut adalah tidak beradab dan UMNO Perak menyokong penuh Tindakan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dan Kuala Kangsar yang telah membuat laporan polis bagi menyiasat dalang yang terbabit dengan tindakan berkenaan.

“UMNO Perak juga dengan penuh keyakinan dan wala’ menyokong penuh dan sentiasa bersama-sama Presiden UMNO di dalam mengharungi cabaran dan dugaan yang memerlukan kesabaran dan kebijaksanaan untuk menuju kejayaan serta kemenangan dalam menghadapi PRU 15,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.