UMNO Harus Konsisten, Fokus Hadapi Beban Hidup Rakyat

IPOH, 25 Jan – Pemimpin dan ahli UMNO harus berprinsip dan konsisten dalam perjuangan khususnya dalam keadaan UMNO berdepan ancaman dari segenap sudut.

Demikian tegas Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak yang menyelar tindakan sesetengah pihak ekoran mengeluarkan kenyataan berbaur desakan agar untuk Presiden UMNO berundur.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid berkata, ahli dan pemimpin UMNO perlu berfikir impak dan kesan kepada imej parti dan institusi presiden melalui kenyataan-kenyataan peribadi yang dikeluarkan.

“Dalam keadaan negara menghadapi waktu yang sukar kerana pelaksanaan PKP serta peningkatan kes COVID-19 dewasa ini, seharusnya fokus ditumpukan kepada bebanan dihadapi oleh rakyat dan bukannya mengeruhkan lagi keadaan yang langsung tidak menyumbang kepada keperluan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar beliau, perbezaan pendapat harus diselesaikan secara berhemah dan bijak melalui konsep musyawarah, hal dalaman parti tidak perlu diulas secara umum kerana apa yang penting adalah bagaimana untuk menguatkan serta mengangkat martabat parti keramat ini.

“Pemuda UMNO Negeri Perak yakin dengan kekuatan yang telah dibina oleh Presiden parti dalam menegakkan layar disaat UMNO dipukul ombak. Dalam pertempuran, selain strategi kalis masa dan pasukan yang kuat, kepercayaan serta keyakinan kepada kepimpinan yang mengemudi organisasi dalam institusi adalah kunci utama kemenangan.

“Pemimpin dan ahli UMNO harus berprinsip dan konsisten dalam perjuangan khususnya dalam keadaan UMNO berdepan ancaman dari segenap sudut, seharusnya kita menguatkan tiang serta tunjang parti. Jangan biarkan api yang kecil ini membakar tiang yang telah dibina,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.