Pemimpin Muda Cerminan Hala Tuju UMNO… Usah Sikap Adu Domba – Amin Shukor

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Pemimpin muda merupakan cerminan kepada hala tuju UMNO untuk membuktikan parti kekal utuh memperjuangkan nasib rakyat.

Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor berkata untuk menuju ke arah itu pemimpin muda perlu mengelakkan daripada bersikap mencari publisiti murahan yang bakal mendatangkan imej buruk kepada parti.

“Ini bukan masanya menjadi hero melalui kenyataan-kenyataan media, tetapi soal sejauh mana kematangan kita sebagai ‘ahli keluarga UMNO’ mampu bertindak progresif dan konstruktif dengan perlaksanaan dan visibiliti jelas kepada rakyat tanpa adu domba, tanpa melaga-laga sesama kita.

“Saya beranggapan kami yang muda-muda ni adalah cerminan hala tuju kepimpinan UMNO untuk masa depan. Jika hari ini naratifnya dimulakan dengan adu domba, laga melaga, hina menghina dan tuduh menuduh masa depan nanti akan jadi bagaimana?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambahnya, sikap rasional perlu terus diterapkan agar sebarang perbezaan pandangan dapat diterjemahkan dengan menggunakan saluran yang betul.

“Soal rumah UMNO biar UMNO yang selesaikan, ianya bukan tatapan umum untuk publisiti murahan, adu domba atau provokasi tanpa maruah.

“Sekiranya timbul ketidakpuasan hati sebagai kepimpinan kecil biar saya selesaikan penuh hemah dalam keluarga UMNO. Bercakap secara umum, kenyataan media bukan akan menguatkan malah semakin melemahkan,” tegasnya.

Sementara itu, Amin yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Damansara berkata pemilihan UMNO yang bakal diadakan nanti adalah platform sebenar untuk ahli parti memilih pemimpin yang terbaik.

“Soal pemilihan tu proses demokrasi yang menjadi rutin ianya bukan baru dalam UMNO, sampai masanya nanti kita buatlah pilihan masing-masing,” ulasnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.