Kenaikan Harga Barangan Menambah Bebanan Rakyat

SEMENJAK pandemik melanda negara, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan ramai. Namun, kebelakangan ini, rakyat semakin terbeban dengan kenaikan harga barangan terutamanya bekalan makanan mentah.

Perkara yang lebih membimbangkan ialah trend harga barangan berterusan naik dengan perlanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sesuatu mesti segera dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini. Dasar kecukupan dan keselamatan makan bukan sekadar memasti kecukupan bekalan tetapi juga memastikan harga makanan selari dengan kuasa beli rakyat.

Begitu ramai sekali rakyat Malaysia telah kehilangan mata pencarian akibat pandemik Covid-19. Kuasa beli segelintir rakyat berada pada tahap yang genting. Tanpa intervensi Kerajaan, mereka bukan sahaja akan miskin, tetapi juga hidup dalam keadaan lapar dan tidak mempunyai kecukupan makanan.

Tindakan dan inisiatif pemantauan harga makanan dan bekalan barangan keperluan asas mesti segera di pertingkatkan.

Pihak Kerajaan juga wajar menggalak dan menghulurkan bantuan untuk pertanian bandar. Penduduk Malaysia, terutamanya mereka yang menetap di bandar, boleh menerima pakai konsep edible garden di kediaman mereka. Gunakan tanah lapang di persekitaran rumah untuk menanam sayuran termasuk menanamnya dalam pasu.

Penanaman sayur-sayuran di rumah mampu mengurangkan kos sara hidup seharian dan memudahkan akses kepada bekalan sayuran segar tanpa kebimbangan penyebaran Covid-19 di pasaraya.

Bagi golongan rentan, pemberian ‘voucher’ makanan dan barangan runcit boleh dipertimbangkan segera. Negara maju telah lama melaksanakan intervensi ‘food stamp’ dan ‘voucher’ barangan perlu.

‘Voucher’ sedemikian bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan keluarga yang paling terhimpit, ia juga dapat menjana pendapatan pemilik dan pengusaha kedai runcit. Bantuan tersebut secara langsung juga akan meningkatkan pengguna agregat dan membantu peniaga kecil, pengusaha pasar raya serta restoran.

Dato Seri Utama Mohamad Haji Hasan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.