Jangan Tiba-tiba Main Umum Tutup Aktiviti Ekonomi… Rakyat Bimbang – Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Jan – “Jangan tiba-tiba main umum sahaja. Perlu sediakan payung sebelum hujan. Kita tidak mahu pengumuman penutupan ekonomi mengundang ekstra bahaya.”

Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung laporan berkaitan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah – Malaysia (EuroCham Malaysia) semalam yang mengeluarkan kenyataan bahawa Kerajaan dijangka menutup hampir kesemua aktiviti ekonomi selepas 4 Februari depan jika PKP 2.0 yang sedang dilaksanakan gagal mengekang penularan Covid-19.

Namun demikian, selepas ‘dibantai’ teruk, EuroCham Malaysia mengeluarkan kenyataan susulan bahawa perkara itu cuma perbincangan tidak rasmi EuroCham Malaysia dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Rasmi atau tidak rasmi – yang rakyat bimbangkan ‘nawaitu’ sudah ada – cuma belum akad. Rakyat bimbang jika berdasarkan trend terkini jangkitan Covid-19, akad itu ‘possible’,” bidas Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, rakyat faham kerajaan mungkin tiada pilihan atau jika ada beberapa pilihan, mungkin itu diyakini paling berkesan untuk menangani penularan pandemik COVID-19 yang mencanak.

“Rakyat bagaimanapun memerlukan bantuan untuk menempuhinya dengan selamat ‘mentally and physically’. Memang kita turut sarankan PKP 2.0 yang lebih ketat sebelum ini, tetapi kita minta ia seiring dengan langkah-langkah membantu rakyat untuk mengharungi tempoh-tempoh sukar itu.”

Katanya, jika peningkatan paras kemiskinan pula berlaku, itu bermakna sebahagian rakyat bukan sahaja berdepan ancaman wabak, tetapi juga ancaman hilang segala-galanya selepas Februari 2021.

“Hilang tempat tinggal, kenderaan waima makanan dan minuman untuk seisi keluarga. Ini juga ‘disaster’ yang perlu dielakkan,” ujarnya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Beliau turut menyertakan tanda hashtag #FikirkanRakyat #Rakyatdidahulukan #Pencapaiandiutamakan . – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.