‘Banner’ Tidak Bertanggungjawab: UMNO Bandar Tun Razak Buat laporan Polis

KUALA LUMPUR, 25 Jan – UMNO bahagian Bandar Tun Razak hari ini bukan sahaja menafikan malah turut membuat laporan polis berkaitan pemasangan beberapa keping ‘banner’ di kawasan tersebut yang mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

Ketuanya Datuk Rizalman Moktar menerusi catatan di facebooknya berkata Setiausaha Kerja UMNO Bahagian, Maizeed Othman telahpun mengambil tindakan susulan termasuklah membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan provokasi tersebut.

“Terdapat beberapa keping Banner yang telah dipasang di sekitar Bandar Tun Razak yang kononnya dari UMNO Bahagian Bandar Tun mendesak Datuk  Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.

“Laporan Polis telahpun dibuat oleh SUK UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Saudara  Maizeed Othman  bagi membolehkan pihak Polis menyiasat perkara tersebut,” katanya.

Rizalman seterusnya berkata UMNO bahagian berkenaan tidak terlibat dengan kaedah di luar peradaban sedemikian rupa.

“UMNO Bahagian Bandar Tun Razak menafikan dan tidak langsung terlibat dalam usaha pihak tertentu yang cuba menjatuhkan Presiden UMNO dengan kaedah di luar peradaban dan etika Parti,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.