Segerakan Pemberian 150 Ribu Komputer Riba, Manfaatkan Kuasa Darurat Tangani Keciciran Pendidikan

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Dalam pembentangan Bajet 2021, kerajaan telah mengisytiharkan pemberian komputer riba kepada seramai 150,000 murid di 500 buah sekolah rintis bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, jumlah itu bersamaan tiga peratus daripada anggaran 4.7 juta murid daripada keseluruhan 10,220 buah sekolah rendah dan sekolah menengah yang bakal menerima komputer riba hasil kerjasama kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap kerajaan dapat segera menyalurkan sumbangan komputer riba ini memandangkan sesi persekolahan melalui kaedah PdPR (Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah) sudahpun bermula.

“Pada masa sama, nasib lebih 4.7 juta murid lain di 10,220 sekolah rendah dan menengah yang berkemungkinan tidak memiliki sebarang peralatan yang bersesuaian untuk PdPR seperti telefon pintar atau laptop harus diberikan perhatian serius,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Dr Asyraf lagi, Kementerian Pendidikan seharusnya lebih proaktif dan segera menangani pelbagai isu dan kekangan pembelajaran agar tidak berlaku sebarang fenomena keciciran daripada arus pendidikan di kalangan rakyat dalam suasana pandemik yang sudahpun masuk tahun kedua ini.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan buat jangka masa pendek ini, diperluaskan siaran TV Pendidikan dengan menukar beberapa saluran TV milik kerajaan kepada TV Pendidikan sepenuhnya sepanjang sekolah ditutup akibat pandemik.

“Justeru, kerajaan seharusnya memanfaatkan kuasa penuh di bawah Ordinan Darurat ketika ini untuk (a) mendesak syarikat-syarikat konglomerat menyumbang komputer riba kepada murid-murid sekolah dan (b) mengarahkan stesyen TV swasta berbayar seperti ASTRO bagi menyediakan saluran pendidikan dengan pemantauan Kementerian Pendidikan,” gesanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.