Rapatkan Saf, Bergerak Ke Hadapan Kembalikan Sokongan Penuh Rakyat Kepada Parti – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Secara personal sebagai pemimpin di peringkat sayap bongsu parti, Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nurul Amal Mohd Fauzi mencadangkan adalah lebih elok semua pihak rapatkan saf kepimpinan yang ada dan bergerak ke hadapan untuk mengembalikan sokongan penuh pengundi kepada UMNO terutama pengundi muda.

Katanya, dalam berparti dan organisasi sudah pasti akan meraikan setiap pendapat serta apa jua pandangan dari kepimpinan setiap peringkat sehingga ke akar umbi.

“Kita percaya setiap pemimpin dan kepimpinan di setiap peringkat mempunyai kekuatan dan pengikut masing-masing. Maka dengan kekuatan yang ada, terjemahkan dalam bentuk terus Bersatu-Bersetia-Berkhidmat kepada parti.

“Saya yakin dan percaya kita tidak lagi mampu untuk terus dilihat penyumbang kepada kemarahan pengundi dan akhirnya memberi kesan buruk kepada parti kita. Cukup-cukuplah adegan sebelum ini, yang dikejar tak dapat dan dikendong pula berciciran.

“Sedikit perkongsian selaku pemimpin paling bongsu seharusnya kita dilihat boleh berfikir ke hadapan untuk perkukuhkan parti. Paling penting elakkan pergeseran yang akhirnya akan menjurus kepada kerosakan yang lebih teruk,” katanya dalam satu catatan di Facebook miliknya.

Katanya, sebagai pemimpin kecil dalam parti, beliau melontarkan pandangan dan sedikit gesaan tentang masalah ini akan tetapi berdasarkan perlembagaan dan peraturan parti sedia ada.

“Dalam suasana kemelut politik hari ini apa yang sebenarnya kita mahukan?” soalnya lagi.

Jelasnya juga, mutakhir ini di segenap pelusuk tanah air memperkatakan masalah dan kesan pandemik COVID-19 kepada rakyat yang terkesan di segenap peringkat.

“Jelas, isu kelangsungan keselamatan, kebajikan dan kesihatan rakyat adalah jauh lebih penting berbanding perihal konflik kepartian.

“Sejajar dengan pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Perdana Menteri yang diperkenan oleh Yang Di Pertuan Agong supaya tidak berlaku sebarang perebutan kuasa dan fokus utama adalah usaha memerangi COVID-19,” ujarnya.

Tambahnya juga, rakyat di luar sana ramai yang masih terkesan dengan COVID-19 dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), datangnya pula bencana banjir dan kini masalah pembelajaran anak-anak dan adik-adik siswa-siswi institut pengajian tinggi (IPT), peniaga-peniaga kecil, barisan hadapan yang bertungkus-lumus siang malam berkhidmat untuk rakyat.

“Usah tambah kecamuk, duka dan survival mereka, namun yang paling utama adalah memperjuang nasib segenap lapisan warga Malaysia.

“Hal parti jika pun ada masalah, kita percaya dan yakin, dengan kewibawaan pemimpin atasan kita iaitu barisan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang bertanding dan dilantik yang bijaksana membuat keputusan terbaik dari masa ke masa dan kepada Allah SWT kita berdoa supaya mereka diberi kelapangan dan kemudahan dan membuat segala perhitungan terbaik parti,” katanya.

Justeru Nurul Amal menyeru semua pihak bersama-sama mencari jalan supaya pemimpin muda hari ini memberi nilai tambah kepada parti untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

“Andai ada sebarang isu yang timbul semalam, hari ini mahupun di kemudian hari, sama-samalah kita bincang secara tertutup dan bermuafakat kerana itulah yang terbaik.

“Selesaikan masalah dalaman parti secara kekeluargaan. Jangan sampai rakyat muak dengan politik Malaysia. Kelak UMNO juga yang akan rugi,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.