Mudahkan Pengeluaran KWSP, i-Sinar Tanpa Syarat Bagi Pembelian Gajet Pembelajaran

KUALA LUMPUR, 24 Jan – EXCO Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid, meminta kerajaan mengkaji semula skim i-Sinar di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan memudahkan pengeluarannya termasuk mengubahnya menjadi pengeluaran tanpa syarat.

Ini kerana katanya, dengan wang pengeluaran i-Sinar ini akan dapat membantu ibu bapa yang tidak layak sebelum ini membiayai pembelian gajet untuk anak mengikuti pembelajaran di rumah.

“Saya pasti ramai anak yang tidak ada peranti atau gajet untuk tujuan pembelajaran mereka. Inilah antara keperluan i-Sinar. Kerajaan perlu menilai kembali kelompongan ini,” tegasnya berkaitan isu ini.

Gesa beliau, skim i-Sinar perlu dipermudahkan agar pembelajaran anak-anak tidak ketinggalan berhadapan norma baharu ekoran pandemik COVID-19.

“Beri peluang pengeluaran i-Sinar tanpa syarat, supaya mereka yang memerlukan dapat mengeluarkan duit mereka sendiri untuk menampung kesukaran yang mereka hadapi ketika pandemik COVID-19.

“Saya pasti ramai anak yang tidak mempunyai peranti ataupun gajet untuk tujuan pembelajaran mereka. Inilah salah satu keperluan i-Sinar.

“Dengan kebenaran pengeluaran tanpa syarat, saya percaya ibu bapa dapat memanfaatkannya bagi memenuhi keperluan anak-anak untuk belajar dalam era baharu penuh cabaran ini,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut menggesa agar lanjutan moratorium pinjaman secara menyeluruh dilaksana demi kesejahteraan dan ekonomi rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.