Fokus Bantu Rakyat, Kukuhkan Gerak Kerja – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Wanita UMNO Malaysia konsisten menyokong pendirian parti dan setiap keputusan yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Kata Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, selaras dengan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan rakyat terus dibantu, fokus utama Wanita UMNO kini adalah kepada membantu rakyat dan memperkukuhkan gerak kerja dalam mencapai objektif menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Dalam keadaan negara yang kini dilanda wabak COVID-19 dan juga banjir, sudah pasti keperluan rakyat perlu diutamakan.

“Sebagai tulang belakang parti, sudah pasti Wanita UMNO akan terus menggembleng tenaga memastikan kebajikan rakyat dijaga,” kata Dr Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan kepada UMNO Online di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Parit Sulong itu lagi, Wanita UMNO juga menyeru kepada semua ahli parti untuk terus merapatkan saf, memperkukuhkan parti agar rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa inilah parti yang benar-benar mampu membawa denyut nadi rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Dalam pada itu, marilah kita terus mempertingkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), menjaga kawalan kendiri agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan dan angka pesakit positif kembali kepada sifar,” serunya lagi. – UMNO ONLINE