Perlunya ‘Win Win Situation’ Demi Kepentingan Rakyat – Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pihak berkuasa dalam negara dan pemain industri untuk duduk bersama berbincang bagi mencari ‘win win situation’ demi kepentingan rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian selepas terbaca keluhan Guild of Bumiputera Contractors Berhad (WIBAWA) berhubung kenaikan harga bahan asas dalam industri pembinaan terutama bahan besi.

Katanya, kenaikan antara 30 hingga 40 peratus itu didakwa akan memberi impak negatif bukan saja terhadap kontraktor dan pemaju, tetapi juga rakyat.

“Saya berasa bimbang kemelut ini jika tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan akan menyebabkan harga rumah terus meningkat.

“Impaknya turut memberi kesan kepada industri hiliran, kecil dan sederhana,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkaitan hal tersebut.

Jelasnya, kenaikan harga bahan asas juga didakwa berisiko menyebabkan ramai kontraktor/pemaju bergelut dengan kesulitan kewangan sekali gus menyumbang kepada lambakan projek terbengkalai.

Dilaporkan, darurat telah dilaksanakan sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di negara ini selain langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana di semua negeri kecuali Sarawak. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.