PdPR Canggung… Kerajaan Disaran Beri Peranti Percuma – Exco Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyifatkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sedang dilaksanakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini dilihat canggung dan tidak cukup komprehensif.

Exconya, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berkata ini kerana beliau mendengar pelbagai rungutan daripada ibu bapa terutama sekali melibatkan capaian internet, data dan alat peranti.

“Ada dalam kalangan ibu bapa pelajar dari keluarga B40 yang bergelut dengan masalah asas seperti masalah kewangan akibat tak boleh berniaga ketika PKP, apatah lagi nak beli komputer dan tablet semata-mata hanya untuk kegunaan PdPR.

“Jika kita teliti pengumuman pakej PERMAI, tak ada pun insentif khas untuk membantu keluarga B40 berkaitan laptop atau telefon pintar.

“Yang ada cuma pelepasan Cukai Khas bagi pembelian komputer, laptop, telefon pintar tapi setakat mana ianya akan membantu rakyat B40 mengikut kelas PdPR?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Ampang turut mengambil contoh pemberian percuma netbook 1Malaysia pada 2010 kepada pelajar miskin seluruh negara semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Malang sekali, ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan ianya tak diteruskan lagi malah tiada penambah baikan pun kepada penggunaan teknologi di dalam sistem pendidikan.

“Saya percaya penggunaan teknologi di dalam sistem pendidikan seharusnya sentiasa diperkasakan dan ditambah baik untuk terus maju dan berdaya saing,” katanya.

Oleh itu, Shahrul menggesa kerajaan untuk meneliti serta mengkaji pelaksanaan PdPR  dengan kadar segera untuk membantu ibu bapa dan pelajar yang bergelut dengan permasalahan ini.

Sementara itu, beliau turut mengemukakan beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan kerajaan:

1. Memandangkan mengikut data Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri, setakat April 2020 menunjukkan sekitar 36.9 peratus murid tidak mempunyai peranti atau device bagi tujuan mengikuti PdPR, maka seharusnya kerajaaan mempertimbangkan pemberian percuma ataupun skim subsidi pembelian laptop, tab, atau telefon pintar secara bersasar kepada pelajar-pelajar daripada keluarga B40.

2. Skim subsidi tersebut boleh dijalankan dengan kerjasama pihak swasta seperti pemberian rebat potongan cukai kepada penjual laptop, tab atau telefon pintar yang terlibat.

3. Kerajaan juga perlu mengkaji pelan pembangunan infrastruktur internet di seluruh negara bagi mengatasi masalah liputan internet jalur lebar terutamanya kepada pelajar-pelajar di kawasan kampung dan luar bandar. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib