UMNO Sentiasa Peka Membantu Rakyat – Rizam Ismail

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Rizam Ismail menekan bahawa UMNO sememangnya sudah sebati dalam khidmat membantu rakyat malahan ia sudah sebati dalam diri ahli-ahlinya sebagaimana parti ini yang mempunyai rekod pencapaian selama mentadbir negara.

Jelas beliau, UMNO sentiasa peka dalam membantu rakyat walaupun dalam masa pandemik COVID-19 mahupun bencana alam yang dialami baru-baru ini.

“Ini biasanya diterapkan oleh UMNO dari dahulu lagi yang mana ahli-ahlinya memang terkenal dengan program-program berbakti kepada masyarakat. Ini juga sudah terbukti sepanjang pandemik COVID-19 apabila ahli UMNO begitu peka khususnya Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO di semua peringkat hinggalah kepada ketua-ketua cawangan terus peka membantu rakyat. Proses khidmat bakti UMNO sentiasa berlaku.

“Saya ucapkan tahniah kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kerana telah berjaya menggerakkan Pemuda UMNO khususnya Skuad Sabil yang melakukan khidmat masyarakat seperti gotong-royong membantu mangsa banjir dan juga program sanitasi ‘nyah kuman’ di rumah-rumah ibadat.

“Bukan saja rumah ibadat Islam malah rumah ibadat kaum Cina dan India turut dibantu dalam program Pemuda UMNO. Program sanitasi ini sentiasa ada dilakukan oleh Pemuda UMNO seluruh Malaysia,” katanya kepada UMNO Online.

Justeru, kata Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, UMNO sentiasa membantu rakyat yang terjejas akibat bencana alam seperti yang terjadi di Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Selangor dan Sabah.

“Malah Pemuda UMNO juga telah memberikan bantuan barang-barang asas kepada mangsa banjir dan program ini memang diterapkan oleh kepimpinan UMNO sejak dahulu.

“UMNO mempunyai ahli yang teramai dan dalam masa yang sama ahli UMNO sentiasa bergerak untuk membantu rakyat,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.