Saarani Terharu Kesungguhan Dan Ketabahan ‘Frontliners’, Bersama Patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad terharu dengan kesungguhan para petugas ‘frontliners’ (barisan hadapan) yang tetap tabah memberi bantuan sewajarnya kepada para pesakit yang amat memerlukan perhatian walaupun dalam suasana serba tidak menentu sekarang.

Ujarnya, dalam keadaan angka kes COVID-19 yang terus meningkat, tugas mereka pastinya akan lebih mencabar dan tentunya menuntut kesabaran dan kecekalan.

“Justeru, saya merayu kepada rakan-rakan di luar sana supaya membantu mereka dengan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan. Jika kes menurun, maka beban tugas yang mereka pikul dapat sama-sama kita ringankan.

“Kepada para pesakit, saya memahami situasi sukar yang mungkin dihadapi termasuk menyesuaikan diri dengan suasana di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), gelisah menunggu keputusan ujian selain terpaksa berjauhan dengan keluarga,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak dalam satu hantaran di Facebook.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu juga berharap mereka yang ditempatkan di PKRC dapat tabahkan hati dan kuatkan semangat menghadapi tempoh sukar ini.

“Sepanjang berada di PKRC, berilah sokongan moral antara satu sama lain.

“Jangan putus ikhtiar. Jangan ada rasa putus asa. Saya dan rakan-rakan sentiasa mendoakan, mudah-mudahan anda semua dapat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing dalam keadaan sihat, Insya-Allah,” ujarnya lagi.

Semalam, Saarani meluangkan masa meninjau dua PKRC di Arena Badminton Perak dan Ulu Kinta, Ipoh.

Selain mendengar taklimat mengenai operasi harian di PKRC terlibat, Saarani juga sempat bertanya khabar para anggota barisan hadapan dan pesakit yang ditempatkan di sana. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.