Rasuah Rosak Integriti… Perlu Vaksin Ampuh – Exco Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Kes rasuah di negara ini dilihat semakin kritikal serta memerlukan pendekatan baharu dan vaksin yang ampuh untuk dipulihkan sepenuhnya, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaludin.

Katanya, gejala ini telah menjadi barah dalam struktur pentadbiran dan perniagaan namun sekiranya tindakan seperti ini dibiarkan berlarutan ianya akan merosakkan akar integriti dan meruntuhkan moral bangsa.

Jelasnya lagi, bersandarkan kajian juga kedudukan negara jauh lebih rendah berbanding negara jiran yang menjadi kayu ukur untuk mempertingkatkan sentimen perniagaan serta menarik kemasukan pelabur asing.

“Kajian Indeks Persepsi Korupsi meletakkan Malaysia di tangga ke-51 dan Singapura di tangga keempat dalam keseluruhan 180 negara yang dinilai melalui kajian Transparency International.

“Ini menunjukkan bahawa Malaysia jauh ketinggalan dari segi persepsi korupsi berbanding negara jiran Singapura. Kelebihan ini, menyebabkan Malaysia menjadi pilihan kedua kepada pelabur asing yang amat menitik beratkan transparensi dan ketulusan dalam perniagaan,” ujar beliau menerusi satu kenyataan.

Namun begitu, katanya usaha memerangi rasuah ini perlu ditangani dari akar dengan menilai semula kesemua peluang ketirisan yang menjadi punca untuk perbuatan ini dilakukan.

“Jika akarnya tidak dibaiki dengan baja yang baik, maka, penyakit rasuah ini akan menular hingga ke pucuk dan akhirnya akan merosakkan keseluruhan sistem pentadbiran kerajaan dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selaras dengan pendirian Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyokong dan menyambut baik gerakan dipelopori Sinar Harian untuk mempromosi agenda jihad memulihkan moral bangsa khususnya dalam memerangi rasuah yang masih mengakar dan membelenggui negara ketika ini.

“Kempen Jihad Perangi Rasuah ini hendaklah kita terus sokong dengan istiqomah sehingga penyakit kronik rasuah ini berjaya dihapuskan daripada merosakkan moral dan maruah negara di mata dunia.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya sama-sama berganding bahu untuk membanteras rasuah di semua peringkat bermula dari diri sendiri,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.