Pengusaha Dan Pemandu Bot Pelancong Dapat Perhatian Kerajaan Negeri – Sharkar

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Kerajaan Negeri Pahang menerusi Tourism Pahang menyampaikan sumbangan yang keseluruhannya berjumlah RM270,000 kepada pemandu pelancong dan pengusaha bot pelancongan di negeri tersebut.

Sumbangan Prihatin COVID -19 itu disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang, Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, penerima sumbangan tersebut membabitkan Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi Taman Negara, Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Pahang, Persatuan Pengusaha Bot Taman Negara, dan Persatuan Bot Pelancong Pulau Tioman.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan sebagai tanda prihatin kepada golongan terbabit yang terkesan ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Jumlah penerima sumbangan adalah membabitkan 450 orang. Ia terdiri daripada pemandu pelancong (254 penerima) dan pengusaha bot (196 penerima),” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Mohd Sharkar seterusnya berkata, turut menerima sumbangan RM5,000 daripada Kerajaan Negeri menerusi Tourism Pahang, pemandu pelancong Taman Negara, Zulkifli Daud yang kediamannya terlibat musibah kebakaran.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar kerana cakna dengan nasib pemandu pelancong dan pengusaha bot pelancongan yang terjejas ekoran penularan wabak COVID-19. – UMNO ONLINE

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.