PdP: Kerajaan Perlu Dengar Rintihan Ibu Bapa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Jan – UMNO menggesa kerajaan cakna dengan permasalahan yang dihadapi oleh ibu bapa terutamanya berkenaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara atas talian di rumah.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata banyak rungutan yang diterima beliau semalam iaitu hanya selepas sehari PdP mula dilaksanakan di seluruh negara.

“Ramai mengadu di Facebook saya tentang kekangan dihadapi ibu bapa bagi membantu anak-anak mengikuti PdP secara maya. Kekangan paling banyak diketengahkan adalah gajet tidak mencukupi untuk ibu bapa yang mempunyai ramai anak.

“Kekangan kedua komputer riba atau telefon bimbit yang mereka ada untuk digunakan anak-anak spesifikasi lama dan ketiga adalah masalah jaringan internet terutama bagi keluarga yang menetap di kawasan pedalaman,” katanya menurusi hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, meskipun kerajaan memberikan RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet serta pemberian percuma data 1 Gigabit namun belum tentu ianya dapat membantu secara sepenuhnya.

“Apa yang pasti, para ibu bapa ini dalam dilema. Dibelenggu kerisauan. Tiada ibu bapa mahu lihat anak mereka ketinggalan dalam pendidikan.

“Permasalahan ini pernah ditimbulkan rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, tetapi tiada penyelesaian secara total sebelum PKP 2.0 dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau juga memohon agar kerajaan tidak mengambil mudah dengan permasalahan tersebut ini kerana para pelajar ini berhak untuk mendapatkan peluang pendidikan yang sewajarnya.

Sementara itu, beliau sekali lagi turut berharap kerajaan dapat menimbangkan agar mewujudkan satu saluran televisyen pendidikan secara percuma sebagaimana yang pernah dicadangkannya sebelum ini.

“Beberapa hari lalu saya sendiri ada bangkitkan semula kebimbangan ini, namun tiada sambutan daripada pihak berwajib. Dalam posting itu saya sertakan cadangan kaedah tambahan untuk memudahkan anak-anak kita mendapat akses pendidikan.

“Saya cadangkan salah satu saluran televisyen milik kerajaan digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembelajaran anak-anak.

“Jika cadangan saya itu ada kewajarannya, saya pohon pihak berwajib teliti kesesuaiannya,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.