Jihad Perangi Rasuah: Tingkatkan Iltizam, Kukuhkan Integriti – Rizam Ismail

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor menyambut baik agenda Ketua Pergerakan UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam usaha memerangi rasuah.

Menurut Ketuanya, Rizam Ismail berkata memerangi rasuah ini bukan hanya kepada penerima rasuah bahkan perlu juga memerangi pemberi rasuah.

Oleh itu tambahnya, sebarang tawaran rasuah mana-mana pihak perlu dilapor bagi memastikan isu ini ditangani lebih menyeluruh dan berkesan.

“Menerusi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI) menunjukkan Malaysia berada pada tangga ke-61 daripada 180 negara dengan markah sebanyak 47 mata. Ini sangat menyedihkan dan perlu diambil tindakan oleh semua lapisan masyarakat kerana rasuah ini tidak mengenal pangkat dan darjat.

“Semua orang perlu diingatkan untuk meningkatkan iltizam dalam memperkukuhkan integriti, mengamalkan gaya hidup sederhana di samping mendidik diri agar jijik dengan rasuah yang boleh merosakkan negara dan masa depan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Justeru, Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar menjelaskan agenda memerangi rasuah ini perlu diberi keutamaan oleh semua dan sudah pasti menjadi keutamaan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor.

“Ini jelas menunjukkan bahawa rasuah ini salah disisi agama Islam dan rasuah itu adalah musuh negara dan juga Agama sepertimana firman ALLAH S.W.T dalam Surah Al-Baqarah : 188
‎وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya),” katanya.

Baru-baru ini, Dr Asyraf telah menyokong penuh jihad memerangi rasuah yang masih mengakar dan membelenggu negara ketika ini. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.