Ahmad Zahid Gesa SOP Keselamatan, Kesihatan Di Sekolah Perlu Dikaji Dan Dipantau Secara Berkala


KUALA LUMPUR, 21 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan di setiap sekolah dikaji dan dipantau secara berkala.

Katanya, anggota sokongan seperti RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia disarankan membantu pematuhan SOP di sekolah-sekolah.

“Sesi persekolahan secara bersemuka di seluruh negara melibatkan para pelajar yang akan menduduki peperiksaan seramai 524,718 orang membabitkan 400,445 calon SPM, 92,964 (STPM), 23,313 (SVM) dan 7,996 (STAM) telah dimulakan dalam situasi keadaan kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat dengan mendadak.

“Sekiranya perlaksanaan darurat ini adalah bertujuan untuk melindungi nyawa rakyat secara keseluruhannya sudah tentu anak-anak kita tidak seharusnya dipaksa untuk meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka kerana dikhuatiri akan timbul kluster baru melibatkan sekolah,” ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu hantaran di Facebook.

Tambahan pula katanya, keputusan yang dibuat ini seolah-olah dalam keadaan yang tergesa-gesa, memaksa anak-anak untuk kembali ke asrama dan berulang alik untuk ke sekolah bagi menghadapi peperiksaan yang masanya cukup singkat, misalnya SPM, SVM dan STAM yang akan berlangsung lebih kurang sebulan lagi iaitu pada 22 Februari ini.

Ironinya tambah Ahmad Zahid lagi, timbul persoalan mengapakah sesi persekolahan masih dibenarkan di dalam tempoh darurat ini sedangkan di suatu sudut yang lain beberapa sektor terpaksa ditangguhkan dan dihentikan buat seketika.

“Adakah nyawa anak-anak kita tidak bernilai sehingga diperjudikan sedemikian rupa?” soalnya lagi.

Semalam, media arus perdana melaporkan kesemua pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lipis, Kuala Lipis yang bakal mengambil peperiksaan SPM dikuarantin selepas seorang positif COVID-19 pada hari sebelumnya.

Laporan tersebut juga menyebutkan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri, Mohd. Zairasyahli Shah Zakaria berkata, seramai 142 pelajar perempuan ditempatkan di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) Bukit Tinggi, Bentong manakala dua pelajar lelaki dikuarantin di asrama. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.