Sokong Penuh Agenda Jihad Perangi Rasuah – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik gerakan yang dipelopori pihak Sinar Harian untuk mempromosi agenda jihad memulihkan moral bangsa khususnya dalam memerangi rasuah yang masih mengakar dan membelenggui negara ketika ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki percaya bahawa usaha membanteras rasuah perlu dilakukan bersama agar ia dapat memastikan budaya bobrok ini tidak terus merebak dan menjadi barah yang menghancurkan bangsa dan negara.

“Kajian menunjukkan 22.1 peratus responden sanggup menerima rasuah jika mempunyai kuasa atau pangkat. Malah Bank Dunia juga ada menyatakan kira-kira 51.4 peratus firma atau syarikat pembuatan di Malaysia bersedia menawarkan ganjaran atau hadiah untuk mendapatkan sebarang kontrak.

“Lebih menyedihkan apabila kajian yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pelajar universiti menunjukkan lebih 30 peratus pelajar menyatakan kesanggupan menerima rasuah jika keadaan mendesak dan memerlukan. Ini menunjukkan pemahaman terhadap kesan rasuah ini tidak tersemat dalam nilai peribadi seseorang.

“Rata-rata rakyat Malaysia sememangnya tidak menyukai perbuatan ini, namun ia tidak bermakna seseorang itu akan membuat laporan sekiranya terlihat perkara ini berlaku di hadapan mata mereka,” katanya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Justeru, Dr Asyraf menyeru seluruh ahli UMNO khususnya Pemuda-Pemuda pewaris perjuangan untuk menanam tekad dan keazaman bersama-sama melawan dan membasmi rasuah dan segala amalan yang terkait dengannya.

“Tuntutan agama dan kehendak rakyat yang mahukan sebuah negara berintergriti, bermoral dan punya sistem tadbir urus yang baik perlu diangkat dan dijadikan agenda perjuangan setiap warga parti terutamanya generasi muda selaku pewaris bagi memastikan maruah bangsa dan martabat negara tidak sesekali dikorbankan,” ujarnya.

Terdahulu portal Sinar Harian telah melancarkan gerakan ‘Sinar Rasuah Busters’ yang merupakan sebahagian daripada kempen sinar untuk Malaysia. – UMNO Online

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.