PKP Hari Ke-7: Rakyat Tiada Pilihan, Tertunggu-tunggu Impak Positif

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Hari ini telah masuk hari ke-7 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan rakyat masih tertunggu-tunggu impak positif PKP kali ini bagi mengurangkan kadar jangkitan yang sangat tinggi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa rakyat sememangnya bersabar dan kerana itu rakyat kekal tenang namun tentunya
dalam hati rakyat kian resah kerana kes terus mencanak dan ekonomi masih goyah.

“Semalam ada yang berkata masih terlalu awal. ‘Sabar la. Takkan hari ni kahwin esok anak dah darjah 5’ (macam pernah ku dengar tetapi di mana ya?). ‘Don’t worry’,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya hari ini.

Jelasnya, kehidupan rakyat masih perlu diteruskan walaupun dalam keadaan yang sukar dan kerana itu beliau percaya kerajaan tiada pilihan.

“Mahu tidak mahu penularan pandemik COVID-19 perlu diredakan secepat mungkin.
Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada ketibaan vaksin ‘esok’ sehingga menggadai nasib rakyat ‘hari ini’.

“Kita juga tidak mahu Malaysia dilabelkan sebagai negara yang gagal melawan COVID-19 di mata dunia. Ia boleh memberi kesan signifikan secara langsung dan tidak langsung kepada ekonomi negara.

“Apabila ekonomi terkesan, kemaslahatan hidup rakyat juga akan terkesan.
Pandangan ramai pihak termasuk pakar kesihatan waima NGO dalam mendepani jangkitan COVID-19 perlu dipertimbang secara serius.”

Namun katanya, dalam terlalu sibuk memikirkan SOP dan kaedah menangani jangkitan wabak itu, jangan sesekali semua lupa kepada yang maha berkuasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk memetik Surah al-A’raf, ayat 180:
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah dan berdoalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.”

Tegasnya, kita perlu yakin setiap doa dipanjatkan kepada Allah SWT tidak akan ditolak.

“Allah Maha Pemurah, Maha Kaya, Maha Mendengar, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Percaya juga kepada kekuatan dan iradat Allah S.W.T, “Kun Fayakun” (Jadilah, maka jadilah…)

“Justeru, saya teramat menyokong inisiatif pengurusan masjid atau surau melakukan zikir, munajat dan berdoa pandemik COVID-19 segera berakhir. Ikhtiar itu boleh dilakukan dengan menggunakan alat pembesar suara di masjid atau surau dan disertai penduduk di rumah masing-masing di seluruh negara.

“Semoga doa yang berterusan akhirnya di makbulkan Tuhan. Akhirat di depan. Aamiin ya rabbal alamin… manakala bagi penganut agama lain, bolehlah kerap berdoa mengikut anutan masing-masing,” katanya lagi yang turut meletakkan tanda pagar #kitajagakita , #KembaliKepadaAllah dan #KembaliKepadaFitrah – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.