Fokus Bantu Rakyat, Henti Sengketa Politik – UMNO Setiawangsa

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Persengketaan dalam politik seharusnya segera dihentikan agar pembelaan kepada rakyat dapat diberikan perhatian sewajarnya.

Bagi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal pemimpin perlu fokus dengan keadaan semasa rakyat apatah lagi ketika ini pandemik COVID-19 masih belum menunjukkan tanda-tanda akan pulih.

“Sekarang ini bukan masanya bercakap tentang politik, fokus kita adalah membantu rakyat.

“Tidak kisahlah sama ada membantu rakyat yang tidak ada pekerjaan, kita berikan pekerjaan untuk mereka atau kita berikan peluang-peluang perniagaan,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah Irwan, pemimpin perlu lebih berdiskusi serta melakukan gerak kerja yang mendatangkan manfaat kepada rakyat berbanding memberikan kenyataan terbuka yang akhirnya akan memberikan mudarat kepada parti.

“Isu-isu politik ini seharusnya tidak sama sekali dibincangkan secara terbuka tapi kalau dalaman parti itu boleh. Sebab rakyat melihat kita ini tidak fokus kepada mereka.

“Soal politik ini kita cakap bila bubar Parlimen, kita strategilah macam mana pun. Namun pastikan kita dapat mandat rakyat.

“Tapi sebelum pembubaran Parlimen, belum masa pilihan raya umum lagi fokuslah kepada isu-isu rakyat,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan penerimaan penduduk Setiawangsa terhadap UMNO, beliau berkata respon yang diberikan adalah positif.

“Kalau saya cakap konteks Setiawangsa, mereka masih memerlukan khidmat bakti daripada UMNO sebab mereka rajin menghubungi kita.

“Terutama sekali saya dapat pelbagai panggilan telefon dan mesej memerlukan bantuan dan kita cuba salurkan mengikut keperluan mereka.

“UMNO Bahagian Setiawangsa masih lagi diperlukan tetapi ini tidak cukup. Sebab ada yang tahu nombor telefon kita, tapi ada juga yang tidak tahu,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.