COVID-19: Rakyat Jangan Panik… Terus Patuh SOP – Azlan Man

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menyarankan agar rakyat tidak panik dan terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 yang dijangka semakin meningkat.

Katanya beliau sedar bahawa rakyat di negeri Perlis semakin bimbang dengan situasi semasa ekoran peningkatan kes positif COVID-19 namun beliau meminta rakyat percaya dengan keupayaan Kementerian Kesihatan Malayasia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan pihak berkuasa lain yang sedang berusaha melakukan yang terbaik.

“Saya sedar rakyat Perlis bimbang dengan situasi ini. Saya juga bimbang, tetapi jangan panik. Kita masih boleh meneruskan aktiviti dan rutin harian,” katanya.

Beliau berkata peningkatan kes positif di Perlis dipercayai berpunca daripada kedatangan beberapa individu sebagai pelancong, balik ke kampung halaman kerana bercuti atau hadir majlis-majlis kenduri.

“Saya telah membuat satu kenyataan seminggu lalu bahawa kes positif COVID-19 di Perlis akan meningkat. Ini adalah berdasarkan maklumat bahawa sejumlah 153 individu dari zon merah yang telah disaring oleh pihak berkuasa kesihatan di mana keputusan saringan belum diperolehi lagi ketika itu.

“Saya menjangkakan jumlah ini akan terus meningkat dalam beberapa hari akan datang apabila semua keputusan saringan telah diperolehi, tetapi jumlahnya mungkin tidak terlalu besar. Ini hanya jangkaan saya sahaja,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, beliau juga meluahkan keyakinan terhadap kefahaman rakyat di negeri itu yang semakin tinggi berkenaan risiko pandemik ini.

“Saya yakin dengan sikap dan disiplin yang tinggi di kalangan rakyat, Perlis akan kembali ke zon hijau semula. Mohon semua jangan panik. Bersabar dan istiqomah mematuhi SOP. Insya-Allah!

“Kerana itulah Perlis bertahan lama sebagai zon hijau sehinggalah munculnya kes-kes baru seminggu lepas. Harapan saya agar seluruh rakyat Perlis terus mematuhi dan mengamalkan dengan sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.