Fokus Bela Rakyat, Utamakan Solidariti Dan Hormati Institusi – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendokong ketetapan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meneruskan proses pemilihan bagi semua jawatan dalam parti pada tahun ini, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan UMNO.

Kata Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebagai sebuah parti yang berperaturan dan menjunjung tradisi demokrasi, suara akar umbi mengenai kedudukan semua posisi kepimpinan dalam hirarki parti mestilah dihormati.

“Sebarang perubahan dalam struktur kepimpinan bakal diterjemahkan oleh ahli di dalam pemilihan parti tahun ini dan bukannya desakan di luar pemilihan.

“Walaupun kita meraikan perbezaan pandangan, kini bukan masanya untuk berpolemik berkenaan kedudukan kepimpinan tertinggi parti bahkan setiap ahli harus mengutamakan solidariti dan menghormati institusi,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Sebaliknya jelas Dr Asyraf, UMNO harus berada di barisan hadapan membantu dan membela isu-isu rakyat di saat mereka susah dan gelisah memikirkan kelangsungan hidup di tengah-tengah pandemik COVID-19 yang masih kuat menggejala.

Hari ini, dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selain memaklumkan pemilihan parti bagi semua peringkat akan diadakan pada tahun ini, Ahmad juga berkata Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang dijadualkan pada 30 dan 31 Januari 2021 ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, selaras dengan Proklamasi Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.