Zahid Puji Usaha Grab Kurangkan Komisen Sehingga Lima Peratus

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan terima kasih kepada pihak Grab kerana mengurangkan komisen siling sehingga 5 peratus kepada peniaga.

Menurut beliau dengan langkah berkenaan ianya sedikit sebanyak dapat membantu serta meringankan beban yang ditanggung oleh mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sepanjang 13 Januari sehingga 26 Januari 2021.

Menerusi laman Instagramnya, Ahmad Zahid seterusnya mengucapkan syukur dan terima kasih kerana apa yang disuarakan olehnya semalam telah diberi tumpuan serta perhatian oleh mereka-mereka yang terlibat.

“Semalam saya ada suarakan kegelisahan pemandu E-hailing yang terbeban dengan komisen 20 peratus ketika PKP pada kali ini. Alhamdulillah…Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Grab kerana mengurangkan komisen siling sehingga 5 peratus kepada peniaga. Semoga syarikat Grab terus maju jaya dalam perniagaan,” katanya.

Hari ini merupakan hari ke-5 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan di beberapa negeri selain PKPB yang turut dilaksanakan.

Menerusi langkah berkenaan hanya beberapa sektor ekonomi dibuka bagi mengekang penularan wabak pandemic COVID-19 yang melanda negara hari ini. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.